View: 2492|Reply: 2
|
Wakaf pertanian tangani kos sara hidup, jamin sekuriti makanan
[Copy link]
|
|
Wakaf pertanian tangani kos sara hidup, jamin sekuriti makanan
Foto hiasan.
Manfaat kerajaan wakaf tidak terhad untuk aktiviti berbentuk keagamaan sahaja. Ramai yang salah anggap bahawa pahala wakaf hanya akan diperoleh sekiranya harta wakaf dimanfaatkan untuk tujuan membina masjid, surau atau sekolah tahfiz.
Oleh itu, pembangunan wakaf di negara kita banyak tertumpu dalam ruang lingkup ini sahaja. Paling ketara kini ialah wakaf al-Quran yang banyak digerakkan pertubuhan kebajikan.
Usaha menarik sumbangan wakaf tunai daripada masyarakat, termasuk dengan al-Quran bukanlah tidak baik, tetapi ia secara tidak langsung menyempitkan kefahaman wakaf sebenar.
Wakaf sebenarnya ialah instrumen ekonomi Islam yang sepatutnya dikembangkan untuk mengurangkan beban hidup yang sedang ditanggung rakyat. Dalam konteks ini, wakaf menjadi pelengkap kepada zakat.
Bagaimanapun, berbeza dengan zakat yang ditetapkan pengagihannya hanya kepada lapan asnaf, manfaat wakaf adalah untuk diagihkan untuk memenuhi keperluan lain dalam masyarakat.
Negara kita kini sedang mengalami situasi kos sara hidup yang meningkat. Oleh itu, kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,500 untuk berkuat kuasa 1 Mei ini, untuk membantu rakyat menjalani hidup dengan lebih baik.
Bagaimanapun, peningkatan gaji minimum ini dijangka akan diikuti dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. Ini dinamakan inflasi dalam istilah ekonomi.
Oleh itu, sudah sampai masanya wakaf digerakkan secara besar-besaran untuk membantu mengurangkan kos sara hidup komuniti setempat.
Dalam konteks ini, negara kita mempunyai banyak tanah terbiar. Ini termasuk juga dengan tanah diwakafkan yang masih banyak dan belum diusahakan sepenuhnya. Demi mengurangkan kos sara hidup kebanyakan rakyat, tanah berkenaan boleh diteroka dengan tanaman jangka pendek dan sederhana.
Beberapa projek rintis sudah dilaksanakan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Projek penanaman nanas yang diusahakan mendatangkan hasil kepada MAIN dan pengusaha projek.
Projek sama sedang diteroka pula Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Menerusi Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan kepada YWM untuk memulakan projek wakaf pertanian dalam skala agak besar.
Dana itu akan digunakan untuk membiayai kos pengurusan ladang seperti membeli alat jentera, membuat pagar dan membina sistem pengairan. Tanah wakaf yang dikenal pasti akan ditanam dengan tanaman jangka pendek (cash crop) seperti sayur-sayuran, cili, timun, terung dan tanaman jangka sederhana sederhana umpamanya pisang.
Semua hasil tanaman ini nanti akan dipasarkan untuk memenuhi keperluan rakyat. Hasrat utama daripada projek wakaf pertanian ini adalah untuk membekalkan hasil tanaman pada harga berpatutan kepada orang ramai.
Dengan kata lain, wakaf pertanian akan dilaksanakan sebagai satu bentuk bantuan
untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Hasil tanaman dijual tidak akan terhad kepada golongan B40, tetapi terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, YWM merancang untuk memproses hasil tanaman supaya nilai pasarannya dapat ditingkatkan. Namun, perlu juga dinyatakan bahawa hasil tanaman daripada projek wakaf pertanian ini tidak akan diberikan secara percuma.
Hal ini adalah untuk memastikan projek wakaf pertanian ini dapat mandiri dan lestari. Hasil jualan produk tanaman akan digunakan semula untuk meluaskan lagi projek wakaf ini supaya lebih ramai yang dapat menikmati manfaatnya.
Selain itu, projek wakaf pertanian ini juga akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang pertanian ini akan diberi latihan dan peluang untuk mengusahakan tanah wakaf di atas plot masing-masing.
Agensi kerajaan seperti jabatan pertanian memberi komitmen dan berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan projek sama.
Selain itu, syarikat korporat juga boleh turut menyumbang sebagai sebahagian daripada khidmat komuniti mereka dalam projek wakaf pertanian ini.
Kejayaan projek wakaf pertanian ini bergantung kepada tiga faktor utama. Pertama, pengurusan projek wakaf perlu dibarisi mereka mempunyai integriti. Dana wakaf disalurkan kepada projek perlulah diuruskan dengan amanah.
Semua transaksi yang boleh mendatangkan keuntungan peribadi perlu dielakkan supaya matlamat projek wakaf untuk memberi kebaikan kepada orang ramai dapat dicapai.
Kedua, projek pertanian ini perlu dilaksanakan oleh mereka mempunyai pengetahuan,
kemahiran dan teknologi pertanian semasa.
Sememangnya, kita sedia maklum bahawa projek pertanian terdedah kepada pelbagai jenis risiko.
Justeru, pengurusan berpengalaman akan dapat mengurangkan kegagalan projek tanaman yang diusahakan.
Ketiga, kerjasama antara institusi wakaf, agensi berkaitan pertanian, pihak korporat dan masyarakat amat penting untuk memastikan kelangsungan projek ini. Tanpa kolaborasi dan sokongan padu daripada pelbagai pihak, projek wakaf pertanian akan tidak akan bertahan lama.
Diharapkan projek wakaf pertanian yang sedang dilaksanakan akan dapat membuka minda masyarakat mengenai bahawa besarnya peranan wakaf dalam membangunkan ekonomi ummah.
Projek wakaf pertanian ini sekiranya dilaksanakan dengan baik mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan sektor pertanian di negara kita, sekali gus dapat menjamin sekuriti makanan tanah air.
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM)
Sumber:https://www.bharian.com.my/renca ... in-sekuriti-makanan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|