Penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Marshanda semalam mengumumkan dirinya menghidap kanser payudara menerusi sebuah video dimuat naik menerusi akaun YouTubenya.
Dia yang kini berada di Singapura bagi mendapatkan rawatan dilihat menitiskan air mata saat bercerita tentang perkara ini, namun percaya bahawa apa yang dilaluinya adalah sebahagian daripada aturan tuhan untuk dirinya.
Kredit foto: IG Marshanda
“Saya datang ke Singapura dengan niat untuk melakukan MRI. Saya di sini untuk berjuang untuk kesihatan saya,” ujarnya mengenai keberadaannya di negara maju itu.
Biarpun perasaan bercampur baur apabila disahkan menghidap kanser yang banyak membunuh kaum wanita, Marshanda menyatakan bahawa dirinya tidak takut.
Jika memang ditakdirkan umurnya pendek, sekurang-kurangnya dia tahu apa perkara seterusnya yang boleh dia lakukan.
Kredit foto: YouTube
Mengakui bahawa dia kadangkala merasai sakit di bahagian payudaranya, ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, “Kematian adalah sebahagian dari putaran kehidupan. Saya tak mahu anda semua khuatir, tolong doakan sahaja, bagi anda yang percayakan tuhan tolong doakan saya. Bagi yang tidak percaya pula, sila berikan tenaga yang baik untuk saya.”
Antara detik menyentuh hati dalam video yang dimuat naik itu. Pelakon yang terkenal menerusi drama Petualangan 100 Jam ini meninggalkan pesanan kepada Sienna yang merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan dengan bekas suami, Ben Kasyafani, Marshanda berharap agar anaknya itu mendoakannya jika dia sudah tiada nanti.
Wanita berusia 32 tahun ini turut berterima kasih kepada bekas suami dan isteri barunya, Nesya Ayu Nabila kerana menjaga Sienna dengan baik.
Dia juga menyatakan bahawa Nesya memiliki hati yang sangat murni dan telah menjadi ibu tiri yang terbaik bagi anak tunggalnya itu.
Sebelum ini Marshanda pernah disahkan menghidap masalah gangguan bipolar dan dia mengembara hingga ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan terbaik.
Sumber: Media Hiburan
|