|
Demi ibu tercinta, Jennifer Lopez dan Ben Affleck sepakat batalkan majlis resepsi perkahwinan
PASANGAN selebriti terkenal dunia, Ben Affleck, 50 dan Jennifer Lopez, 53, yang sepatutnya diraikan dalam satu majlis resepsi khas mengambil keputusan membatalkan hasrat tersebut pada saat-saat akhir.
Ini berikutan ibu kepada Affleck, Chris Anne Boldt dimasukkan ke Hospital Savannah, Georgia, Amerika Syarikat.
Menurut sumber, keadaan Boldt dilaporkan stabil dan tidak terlalu membimbangkan.
Beliau dikatakan cedera pada bahagian kaki dan terpaksa menerima beberapa jahitan.
“Kecederaan yang dialami Boldt tidak serius, tetapi Affleck dan Lopez memilih untuk ada bersamanya,” demikian menurut sumber.
Pasangan sama cantik sama padan sebelum ini berkahwin dalam satu majlis sederhana di sebuah gereja di Las Vegas.
Bennifer adalah nama jolokan pasangan ini.
Bahkan penyanyi yang mesra dengan panggilan JLo itu hanya mengenakan gaun putih yang telah lama disimpan dan menukar busana tersebut di dalam sebuah bilik persalinan. Sementara Affleck pula, hanya bersiap di dalam tandas.
Berdasarkan rekod, pasangan tersebut pernah bercinta dan mengikat tali pertunangan pada tahun 2002, namun putus dan masing-masing membawa haluan sendiri.
Kalau sudah namanya jodoh takkan ke mana. Affleck dan Lopez kembali bersatu selepas 18 tahun dan terus bercadang untuk berkahwin.
Affleck sebelum ini pernah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Violet, Seraphina dan Samuel bersama bekas isterinya yang juga seorang dengan aktres, Jennifer Garner.
Sementara itu, JLo pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Marc Anthony pada 5 Jun 2004 dan mempunyai sepasang kembar iaitu Emme dan Max. Pun begitu, pasangan berkenaan bercerai pada 14 Jun 2014.
Sumber Mediapermata.com
https://sinarplus.sinarharian.co ... esepsi-perkahwinan/
|
|