View: 960|Reply: 0
|
Kembalikan kepakaran setiap disiplin ilmu kepada ahlinya
[Copy link]
|
|
Kembalikan kepakaran setiap disiplin ilmu kepada ahlinya
SKOP perbincangan golongan sufi adalah bidang tasawuf yang menitikberatkan hal pembangunan hati, rohani, adab dan akhlak bukannya mengenai akidah serta hukum.
MEREKA yang membaca artikel penulis dalam siri lalu dengan fikiran yang tenang dan hati yang lapang akan memahami bahawa matlamatnya adalah agar kita berlapang dada dan bertolak ansur dalam perkara khilafiah. Ini kerana ia adalah antara faktor penyatuan ummah dan menolak aliran pemikiran yang sempit serta ekstrem kerana ia adalah antara punca perpecahan. Di samping itu, ia bertujuan supaya kita memahami bahawa setiap disiplin ilmu itu perlu dirujukkan kepada ahlinya. Misalnya, dalam bidang hadis perlulah dirujuk kepada ulama hadis manakala dalam bidang tasawuf perlulah dirujuk kepada ulama sufi.
Usaha sesetengah pihak ekstremis untuk mengeluarkan ilmu tasawuf daripada ajaran Islam atau mengkategorikan ahli sufi bukan daripada golongan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ), bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng dan remeh begitu sahaja. Apatah lagi jika usaha mereka itu dibuat berdasarkan pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak jelas dan tidak berasas. Malah, adakalanya mereka sendiri keliru antara istilah 'sufi' dan 'batini' sehingga mencampuradukkan antara kedua-duanya sekali gus, walhal kedua-duanya amat jauh berbeza bagaikan langit dengan bumi.
Jelasnya, jika sesuatu dakwaan itu hanya berlandaskan kepada sentimen dan bukannya fakta yang betul, ia wajib dijawab serta diterangkan gambaran dan hal kedudukannya yang sebenar. Justeru, kritikan yang ditujukan kepada ulama sufi kerana memuatkan hadis daif atau palsu perlu diteliti dan difahami sebabnya. Apatah lagi skop perbincangan mereka adalah bidang tasawuf yang menitikberatkan hal pembangunan hati, rohani, adab dan akhlak, bukannya mengenai hal akidah serta hukum. Maka, sewajarnya terdapat sedikit kelonggaran daripada aspek itu.
Begitu juga sekiranya seorang syeikh atau guru sufi membawakan hadis daif atau palsu perlu diteliti dan difahami sebabnya kerana bukan menjadi syarat seorang syeikh atau guru sufi itu mesti mahir dan menguasai sepenuhnya bidang hadis. Namun begitu, kita mendapati mereka masih menggunakan manhaj ilmu umum dengan melihat kepada kandungan makna hadis yang boleh jadi disokong oleh nas al-Quran atau dalil majmuk. Dengan kata lain, mereka menilai daripada aspek matan hadis semata-mata, meskipun agak bermasalah daripada aspek sanadnya. Oleh itu, tidak hairan apabila hadis daif atau palsu tersebar dalam kalangan ahli sufi. Lebih-lebih lagi antara adab ahli sufi ialah berniat ikhlas dan bersangka baik dengan guru. Justeru, mereka menganggap hadis yang disampaikan oleh guru adalah betul atau tiada bermasalah.
Daripada sudut inilah mereka dikritik oleh ulama hadis apabila membawakan hadis daif atau palsu menurut kaedah ilmu hadis terutama hadis yang tidak lagi diperselisihkan statusnya antara sabit atau tidak. Maka perlu diakui bahawa secara ilmiah, pandangan yang dipakai tentunya adalah pandangan ulama hadis. Pandangan ulama sufi pula tidak dapat dijadikan pegangan dan sandaran, sekalipun didakwa ia sahih atau sabit secara kasyaf. Ini kerana kaedah penilaian yang ilmiah dan disepakati itu lebih diutamakan berbanding kaedah kasyaf yang bersifat subjektif serta individual.
Menerusi penjelasan di atas, sewajarnya kewujudan hadis daif dan palsu dalam kitab tasawuf atau ulama sufi bukanlah sesuatu yang patut dilihat sebagai luar biasa, apatah lagi jika ia tidak berkait pun dengan aspek akidah dan hukum. Maka, tidak sewajarnya ulama sufi berkenaan dituduh berhujah dan berdalil dengan hadis daif serta palsu. Walhal mereka tidak pun berniat sedemikian. Sedangkan tuduhan itu boleh dikira berat sebelah kerana hadis daif dan palsu juga wujud dalam kitab pengarang disiplin ilmu lain seperti kitab fiqah, tafsir, usul, sejarah, sirah serta lainnya sebagaimana yang dijelaskan pada siri lalu.
Begitu juga penggunaan hadis yang disepakati palsu tanpa sengaja tidak boleh menjadi salah satu kriteria untuk menghukum sesuatu fahaman atau aliran itu sebagai salah dan sesat melainkan jika hadis palsu itu menjadi prinsip utama pegangan mereka serta tidak mahu berganjak meninggalkannya setelah diberikan teguran, nasihat dan peringatan. Sekiranya ini berlaku, maka kita bersetuju jika ia menjadi salah satu kriteria untuk menghukum mereka sebagai salah dan sesat.
Peratus kesesatan ini pula sebenarnya amat kecil dan tidak dapat sama sekali dijadikan hujah bahawa ilmu tasawuf bukan daripada ajaran Islam atau ahli sufi bukan daripada golongan ASWJ. Mereka yang berfikiran sempit sebegini hakikatnya adalah sama seperti hal keadaan orang kafir yang melihat kesalahan segelintir orang Islam lalu dijadikan hujah terhadap keburukan agama Islam keseluruhannya. Wal'iyazubillah.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ilmu-kepada-ahlinya
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|