|
Seorang TikToker, Haikal Joe kesal apabila dia mendakwa dihidangkan nasi berlaukkan serangga, dipercayai lipas pada Sabtu.
Kejadian berlaku di sebuah R&R di Perak ketika dia dan tunangnya sedang menjamu selera sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang atas urusan kerja.
"Masa tu saya makan nasi putih, ayam goreng dan kuah kari. Saya makan dengan berselera sebab dari pagi tak makan. Bila dah habis separuh, saya pusing ayam dan terus nampak serangga.
"Nampak kepala, saya syak ia anak lipas. Kebetulan ketika itu, saya sedang buat live TikTok. Jadi ia dirakam secara tak sengaja. Saya terus bangun dan tanya kepada pekerja. Risau orang ingat saya buat content pula," ceritanya kepada mStar.
Walaupun bengang, dia enggan memanjangkan kes berkenaan sehingga menimbulkan kekecohan.
Namun, Joe turut kesal apabila pekerja kedai itu didakwa bersikap acuh tak acuh dan selamba bertanya sekiranya dia mahu menukar hidangan berkenaan dengan makanan baharu.
"Saya cakap elok-elok ada haiwan dalam nasi. Saya malas nak gaduh. Tunang saya pun pesan suruh cakap elok-elok. Dia (pekerja) tanya nak tukar nasi ke? Saya kata boleh la. Kemudian pekerja kedai gantikan nasi dengan lauk sama. Saya ambil, tapi makan secubit dua je.
"Walaupun masa tu dah 'berangin' tapi saya pilih untuk berdamai. Saya juga tak perlu bayar makanan tu, dia bagi free je. Saya malas nak berdebat. Saya tahu dia pun cari rezeki," ujarnya yang mempunyai lebih setengah juta pengikut TikTok.
Joe berkata dia berkongsi video kejadian itu di media sosial dengan harapan ia menjadi peringatan buat peniaga makanan agar memandang serius isu kebersihan.
"Bila saya kongsi video kejadian itu di TikTok, saya cuma nak semua peniaga alert. Saya tiada niat nak tutup periuk nasi, saya juga tak mention nama kedai. Cuma saya mahu semua peniaga makanan beringat.
"Makanan yang dijual perlu ditutup. Ia akan jadi darah daging, jadi kita nak makan benda yang bersih. Tempat juga kena bersih, rapi dan tak berselerak atau kotor. Itu saja pesanan saya.
"Saya serik nak makan situ, masih trauma. Selama ni tengok orang lain kena. Kali ini saya sendiri kena. Kalau singgah R&R tu lain kali, mungkin beli roti je," ujar Joe lagi.
Di ruangan komen, ramai netizen membanjiri video TikTok Joe turut berkongsi pengalaman sama yang pernah dilalui mereka di kedai-kedai lain sebelum ini.
"Ya Allah teringat dulu ambil lauk sambal sotong. Sekali syok suap ada lipas seekor sekali dalam sambal sotong. Menjerit sakan la dalam kedai.
"Kena marah bang. Benda tu jadi darah daging. Benda kotor kena report kedai. Biar lebih bersih lepas ni," tulis beberapa netizen. -CARI
Sumber: mStar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|