Edited by JoyahMengayah at 1-12-2023 03:08 AM
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan mendaki tujuh anak tangga dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Harimau Malaya yang jatuh tiga anak tangga ke ranking ke-137 dunia pada 26 Oktober lalu, kini berada di kedudukan 130 selepas kemaskini terbaharu badan induk itu, hari ini.
Kenaikan ranking itu disumbangkan oleh kejayaan skuad kendalian Kim Pan Gon yang merekodkan kemenangan dalam dua aksi awal Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lalu.
Harimau Malaya tampil dengan aksi luar biasa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November lalu apabila bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk menewaskan pasukan ranking kelompok 100 dunia, Kyrgyzstan 4-3.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Persembahan cemerlang itu kemudian diteruskan di Stadium Perbandaran Taipei, 21 November lalu apabila mereka menewaskan Taiwan 1-0, sekali gus menjadi kemenangan sulung Harimau Malaya di negara itu.
Hasil daripada kemenangan itu, Harimau Malaya menambah 26.15 mata untuk mengumpul mata keseluruhan 1122.87.
Ia adalah ranking terbaik Harimau Malaya dalam tempoh 17 tahun selepas pernah menduduki tangga 124 pada 2006 dan menerusi semakan di laman sesawang FIFA, ranking tertinggi negara adalah 75 yang dilakar pada 1993.
Berdasarkan kemaskini terbaharu itu juga menyaksikan Harimau Malaya naik satu anak tangga dalam ranking Asia apabila menghuni tangga ke-23 dan ketiga di Asia Tenggara.
Juara Piala Dunia tahun lalu, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1855.2 mata keseluruhan diikuti Perancis di tangga kedua manakala England naik ke tangga ketiga.
Jepun yang naik satu anak tangga ke-17 dunia pula kekal sebagai pasukan teratas Asia dengan mengumpul 1620.19 mata manakala Iran dan Korea Selatan berada di tangga kedua dan ketiga benua itu.
|