Bagan Serai: Dua remaja lelaki ditahan selepas dipercayai memuatnaik video dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta menuduh polis menerima duit di laman sosial, kelmarin.
Tindakan itu dipercaya dilakukan kerana tidak berpuas hati selepas menerima beberapa saman daripada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video yang tular, pada Rabu dan menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya suspek berusia 14 tahun dan rakannya berusia 17 yang memuatnaik video itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati suspek pernah ditahan sebelum ini bagi siasatan ke atas beberapa kesalahan jenayah.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu dan mengikut perasaan atas kesalahan yang dilakukan.
VIDEO tular seorang remaja lelaki memaki dan menudih pihak polis menerima wang. FOTO Tular
"Sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh menggunakan saluran undang-undang yang betul bagi memastikan tiada kesalahan yang lain yang dilakukan serta menggugat institusi penguatkuasaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, sebuah motosikal turut disita mengikut dibawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular satu video berdurasi 37 saat memaparkan seorang remaja lelaki memaki dan menuduh pihak polis menerima duit selepas tidak berpuas hati dengan sejumlah saman yang dikenakan terhadapnya.