|
LECLERC terpaksa akur memulakan saingan GP Bahrain malam ini di petak kedua apabila Verstappen melakukan catatan lebih pantas. - AFP
SAKHIR, Bahrain – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc mengakui kecewa apabila terlepas peluang meraih petak utama pada perlumbaan pembuka tirai musim 2024 di Grand Prix Bahrain pada sesi kelayakan awal pagi semalam.
Kegagalan Leclerc itu berpunca daripada pemilihan tayar hingga menyebabkan juara dunia musim lalu, Max Verstappen berjaya menguasai saingan tersebut.
Pada sesi kelayakan tersebut, Leclerc menggunakan tiga set tayar spesifikasi lembut baharu untuk sesi kelayakan pertama (Q1) dan Q2 menyebabkan Ferrari terpaksa menggunakan tayar terpakai pada Q3 yang menjejaskan potensinya mencatat masa terpantas.
“Saya agak kecewa kerana kami bermula dengan baik pada aksi kelayakan. Biarpun ia adalah hujung minggu yang sukar, tetapi kami cuba beberapa perkara di sesi latihan bebas pertama (FP1), FP2, FP3 dan kemudian saya menemui detik terbaik dalam sesi kelayakan.
“Q1 agak sukar dan malangnya kami meletakkan dua set tayar lembut baharu dan menjejaskan potensi kami sedikit untuk Q3, tetapi secara keseluruhannya ini adalah kelayakan yang cukup baik, permulaan yang baik bagi tahun ini.
“Kami berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding setahun lalu, jadi itu adalah petanda yang positif bagi kami. Sekarang kami perlu lihat kepantasan perlumbaan sebenar esok yang pastinya lebih mencabar.
“Ketika ini, saya menilai bahawa Red Bull masih berada di hadapan kami tetapi jika ada peluang seperti biasa saya akan melakukannya untuk cuba melakar kemenangan,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... pertama-gp-bahrain/ |
|