|
VERSTAPPEN menepati ramalan apabila membuka tirai kempen musim baharu dengan kemenangan GP Bahrain awal pagi semalam. – AFP
MANAMA – Pelumba utama Red Bull, Max Verstappen mengakui cabaran kempen kali ini lebih sukar meskipun berjaya menjuarai perlumbaan pertama Formula Satu (F1) musim 2024 apabila mendominasi Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain awal pagi semalam.
Pada perlumbaan itu, Verstappen tidak mempunyai masalah untuk menguasai saingan dengan sempurna mengatasi rakan sepasukan Sergio Perez di tempat kedua dan wakil Ferrari, Carlos Sainz Jr. melengkapkan kedudukan podium.
Meskipun memenangi GP Bahrain, namun Verstappen mengakui cabaran yang telah diberikan oleh pelumba-pelumba lain agak sengit dan apa yang bakal dilalui musim ini dijangka lebih mencabar berbanding tahun lalu.
“Saya rasa perlumbaan ini membuktikan bahawa pasukan lain semakin pantas dengan jurang kualiti antara semua pasukan tidak terlalu ketara.
“Cuma, pada perlumbaan kali ini, nasib lebih memihak kepada kami yang berjaya tampil konsisten dari awal hingga penghujung saingan. Namun, kami tidak boleh terlalu selesa dan banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Verstappen yang juga juara dunia tiga kali itu turut mengakui bukan mudah untuk mengulangi prestasi musim lalu apabila menjuarai 19 perlumbaan daripada 22 pelumbaan GP keseluruhan.
“Buat masa ini, saya lebih fokus kepada satu demi satu perlumbaan dan selepas saingan kali ini, tumpuan perlu diberikan untuk saingan GP Arab Saudi minggu depan,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... k-gp-pembuka-tirai/ |
|