|
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya England boleh muncul juara pada pusingan akhir Euro 2024 di Jerman. – Foto englandfootball.com
LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyokong England untuk menjuarai Euro 2024 jika mereka mengikut laluan kelabnya bagi menikmati kegemilangan di peringkat benua.
Guardiola akhirnya mengemudi City bagi kejuaraan sulung mereka dalam Liga Juara-Juara musim lalu selepas beberapa kali gagal ketika tempoh awal kendaliannya.
Jurulatih dari Sepanyol itu berasakan Gareth Southgate boleh melakukan perkara sama dengan England susulan kegagalan mereka sekalipun berada di ambang kejuaraan.
England tumpas pada final Kejohanan Eropah di tangan Itali menerusi penentuan penalti di Wembley pada 2021, kalah pada separuh akhir Piala Dunia di tangan Croatia pada 2018 dan dikecewakan Perancis pada suku akhir Piala Dunia 2022.
"Mereka amat bagus. Ia bukan hanya bakat penyerang, ia satu pakej secara keseluruhan, seluruh kumpulan itu dan Gareth tahu apa yang perlu dilakukan," kata Guardiola kepada wartawan awal pagi tadi.
"Jadi saya berasakan, setiap orang mempunyai perasaan, bahawa pasukan kebangsaan England, (daripada) kejohanan terakhir - Piala Dunia dan Kejohanan Eropah - mereka meningkat, mereka di ambang, mereka semakin hampir. Mereka tumpas pada final, layak ke separuh akhir.
"Apabila anda tiba di peringkat ini setiap dua tahun, ia akan berlaku. Ia juga agak sama dengan kami. Kami semakin hampir dan akhirnya kami menjulang trofi."
Guardiola percaya kegilaan warga Inggeris terhadap bola sepak, yang sering membebankan pemain mereka pada kejohanan utama, terbukti akan menjadi faktor lonjakan kali ini.
"Saya lihat reaksi apabila mereka beraksi pada Kejohanan Eropah dan Piala Dunia, penduduk negara ini meraikannya di jalanan. Mereka taksub dengan pasukan kebangsaan," kata Guardiola.
"Hanya percayakannya. Jika mereka percaya, mereka boleh melakukannya. Percayalah, percayalah, mereka boleh melakukannya kali ini." – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... and-juara-euro-2024 |
|