|
Kaka mengakui hidupnya lebih bebas dan paling tak disangka, rezeki terbentang lebih luas buatnya selepas ditamatkan kontrak oleh Warner Music Malaysia. Foto NSTP Rohanis Shukri
KUALA LUMPUR: Mungkin Allah menjawab doanya yang mahu menyusun kerjaya seni sendiri tanpa bernaung di bawah syarikat rakaman atau label.
Akhirnya, hasrat itu terkabul apabila kontraknya bersama Warner Music Malaysia ditamatkan gara-gara kelantangan penyanyi Kaka Azraff memperjuangkan isu Palestin, Disember lalu.
Kini, selepas empat bulan 'terbang' sendiri, Kaka atau nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 35, mengakui hidupnya lebih bebas dan paling tak disangka, rezeki terbentang lebih luas buatnya.
"Alhamdulillah, apa yang jadi sebenarnya membuka jalan lebih luas. Kerjaya seni seakan dipermudahkan dan lebih banyak peluang yang saya dapat.
"Bukan hendak kata syarikat pengurusan sebelum ini tidak buat apa-apa, tetapi apa yang saya nampak, orang lebih mengenali saya selepas insiden ditamatkan kontrak.
"Saya mula menyedari yang rezeki Allah itu luas. Apa yang berlaku tak menghalang, sebaliknya beri ruang lebih besar.
"Hikmahnya, saya sedar sebenarnya boleh bergerak sendiri. Selama ini, saya pernah beritahu, saya hendak bergerak sendiri, tetapi, hasrat sering kali terbantut.
"Namun, akhirnya penamatan kontrak menjadi titik tolak untuk bergerak solo, umpama doa dimakbulkan Allah," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, kata Kaka, dia tidak mahu terburu-buru, sebaliknya lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti dalam mengatur rentak seninya.
Kaka berkata, apa yang berlaku juga tidak membuatkannya takut untuk terus memperjuangkan isu Palestin.
|
|