|
Pengadil, Jarred Gillett melakar sejarah apabila memakai kamera ketika aksi Liga Perdana Inggeris antara Crystal Palace dan Manchester United di Selhurst Park. - Foto AFP
LONDON: Pengadil, Jarred Gillett melakar sejarah apabila memakai kamera ketika aksi Liga Perdana Inggeris antara Crystal Palace dan Manchester United di Selhurst Park.
Kamera yang dipasang di bahagian alat komunikasi biasa pengadil itu pertama kali digunakan dalam perlawanan di liga tertinggi.
Penggunaan kamera bagi tujuan pembelajaran itu dipersetujui oleh kedua-dua kelab, Lembaga Persatuan Bolasepak (FAB), PGMOL (Professional Game Match Officials Limited) dan Liga Perdana Inggeris.
Rakaman kamera itu tidak akan disiarkan secara langsung tetapi hanya untuk program pendek yang akan disiarkan kemudian bagi melihat lebih dekat situasi pengadilan di Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun ia bukan perkara baharu bagi beberapa kelab Inggeris. Sebelum ini, ketika perlawanan persahabatan antara Chelsea dan Brighton pada Julai, pengadil Rob Jones memakai kamera di dada dengan The Blues menang 4-3 di Philadephia.
Kamera yang diletakkan di dada turut digunakan dalam pertembungan antara Arsenal dan MLS All-Star ketika aksi pra-musim, dengan rakaman video dari perspektif pengadil dimuat naik ke atas talian.
RefCam turut diperkenalkan di liga tertinggi Jerman musim ini, dengan pengadil Daniel Schlager memakai kamera berkenaan ketika keputusan seri 2-2 antara Frankfurt dan Wolfsburg pada Februari.
Bundesliga kemudian berkongsi rakaman dari perspektif Schlager di YouTube, menunjukkan komunikasinya dengan pemain-pemain dan pegawai perlawanan. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... pl-mula-guna-refcam |
|