Georgetown: Dua penjaja ketam nipah direman dua hari, susulan kekecohan membabitkan penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Pagi Jelutong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, perintah reman bermula hari ini terhadap lelaki berusia 23 dan 35 tahun.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial menunjukkan sepasukan sembilan penguat kuasa MBPP menjalankan pemeriksaan di Pasar Awam Jelutong pada 9.20 pagi.
Operasi terhadap penjaja tanpa lesen yang membabitkan rampasan barangan dan difahamkan dua penjaja telah diarah menutup perniagaan dan beredar dari kawasan itu.
Tiba-tiba seorang daripada penjaja terbabit membuat provokasi dan menumbuk penguat kuasa, sebelum penguat kuasa itu membalas pukulan bagi mempertahankan diri.
"Tiada kecederaan serius (antara peniaga atau penguatkuasa), hanya lebam," kata Razlam.