
Anggota bomba melakukan operasi menyelamat seorang lelaki yang memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman, Jitra. NSTP/Wan Nabil Nasir
JITRA: Seorang lelaki bertindak berani dengan memanjat sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tinggi di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman, di sini, petang tadi, mencemaskan orang ramai.
Aksi lelaki terbabit memanjat pencawang bagaikan Spiderman itu membahayakan nyawanya berikutan arus voltan elektrik yang tinggi di atas pencawang itu, turut dirakam orang awam yang berada di situ.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.17 petang.
Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nazril Abd Rahman bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Operasi penyelamatan masih dilakukan ketika ini dan pihak bomba menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bantuan dari BBP Alor Setar untuk menyelamatkannya.
"Sehingga jam 8.30 malam ini, operasi penyelamatan masih dilakukan dan maklumat akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.