|
BAREGA ketika memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Addis Ababa: Pelari jarak jauh Ethiopia, Selemon Barega berharap dapat merangkul pingat emas dua kali berturut-turut di Sukan Olimpik Paris tetapi mengakui berdepan saingan sengit daripada rakan senegara dan pelari Uganda.
Atlet berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mengulangi kejayaannya di Sukan Olimpik Tokyo yang dilangsungkan pada 2021 apabila memenangi acara 10,000 meter (m).
"Seorang lelaki membuat perancangan, tetapi jawapan terakhir datang dari Tuhan. Saya menyasarkan untuk memenangi pingat emas dan mengulangi kejayaan saya di Sukan Olimpik Tokyo," katanya kepada AFP pada sesi latihan hujung minggu di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa.
"Sukar untuk membuat ramalan sekarang, tetapi saya menjangkakan saingan hebat daripada rakan senegara, dan atlet (Uganda) Joshua Cheptegei serta Jacob Kiplimo," katanya lagi.
Di Tokyo, dia menewaskan Cheptegei, pemegang rekod 10,000m dan 5,000m dunia, serta juara separuh maraton dunia, Kiplimo untuk melepasi garisan penamat dengan catatan masa 27:43.22s.
Di Budapest Ogos lalu, Cheptegei menjadi pelari keempat dalam sejarah memenangi tiga kejuaraan dunia berturut-turut menerusi acara 10,000m apabila menewaskan Daniel Ebenyo dari Kenya di tempat kedua, manakala Barega terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
"Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental. Saya tidak menyertai pertandingan lain untuk kekal fokus persiapan ke Olimpik.
"Sebelum ini, atlet Afrika cemerlang dalam acara jarak jauh, tetapi kini atlet Eropah dan Amerika juga berada dalam keadaan baik, jadi saya perlu berwaspada," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... mpik-sasaran-barega |
|