CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 39574|Reply: 0

[Sarawak] Kekuatan jiwa pacu mentaliti juara skuad pencak silat Sarawak hadapi SUKMA 2024

[Copy link]
Post time 24-7-2024 03:39 PM | Show all posts |Read mode


Pasukan pencak silat Sarawak giat menjalani latihan menjelang temasya SUKMA 2024 yang akan berlangsung pada 17 sehingga 24 Ogos ini ketika tinjauan di Stadium Bandaraya, Miri, baru-baru ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mentaliti juara yang dipacu oleh kekuatan jiwa merupakan ‘senjata’ skuad pencak silat Sarawak dalam usaha memburu gelaran juara keseluruhan di laman sendiri pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dari 17 sehingga 24 Ogos ini.

Jurulatih pencak silat Sarawak Mohd Firdaus Rahmat berkata kekuatan jiwa untuk meraih kejayaan yang dimiliki para pesilatnya membezakan antara mereka dan barisan pencabar pada temasya sukan itu.

Beliau berkata sebagai bukti, anak buahnya yang perlu berlatih selama lapan jam setiap hari kecuali Ahad, turut giat melakukan latihan tambahan antara sela masa sesi latihan bagi meningkatkan teknik dan memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Kekuatan pasukan pencak silat Sarawak kali ini ialah jiwa pesilat kita memang tiada pada pesilat lain. Dengan jiwa yang nak menang ini dan semangat kita ada masa ini, tak kira apa terjadi, kita tetap nak capai sasaran kita (juara keseluruhan).

“Kalau sehari berlatih tiga atau empat sesi, mereka akan lakukan lebih...contoh, sesi latihan dari 6:30 hingga 8:30 malam, selepas itu mereka buat tambahan dalam 30 minit untuk bekal pertandingan kali ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Stadium Bandaraya Miri baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata setiap hari pesilat Sarawak menjalani sesi latihan kecergasan selama dua jam, teknik (empat jam) dan sesi analisis video selama dua jam pada sebelah malam.

Dalam pada itu, penolong pengurus skuad pencak silat Sarawak Mohamad Azahar Bujang optimis dengan persiapan rapi yang dilalui para pesilat Bumi Kenyalang sejak awal tahun ini, ia mampu membantu pasukan mencabar keseluruhan 28 acara yang dipertandingan sekali gus muncul juara keseluruhan.

Beliau berkata skuad pencak silat Sarawak antaranya berpeluang menjalani kem latihan di Thailand dan turut mengadakan aksi persahabatan dengan skuad kebangsaan negara itu.

“Sekarang kita boleh menyasarkan lebih banyak lagi pingat emas dan menjadi juara keseluruhan untuk pencak silat kali ini,” katanya tanpa mendedahkan jumlah pingat emas yang disasarkan.

Sementara itu, pesilat sandaran Sarawak Asri Zakri Ibrahim yang merupakan anak kepada bekas juara dunia pencak silat Zakri Ibrahim pula berkata beliau memasang impian untuk menghadiahkan emas buat negerinya selepas terkandas di separuh akhir dalam penampilan sulung pada edisi lepas.

Beliau turut berharap dengan kejayaan itu, dapat membuka peluangnya mewakili negara dan mengikuti jejak langkah bapanya yang mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Saya akan buat yang terbaik untuk Sarawak dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama Sarawak. Ayah pesan mental kena kuat, sebab saya nak jadi macam dia juga, juara dunia, jadi mental kena kuat,” katanya yang akan menggalas cabaran dalam Kelas E Tanding (65-70 kilogram).

Saingan pencak silat yang menawarkan masing-masing 20 emas bagi kategori tanding dan lapan emas untuk seni akan berlangsung di Stadium Bandaraya Miri dari 18 sehingga 23 Ogos.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016. - BERNAMA


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-9-2024 12:20 PM GMT+8 , Processed in 0.041320 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list