|
KUALA LUMPUR: Hilang punca pendapatan sejak suaminya didiagnos menghidap Aortic Aneurysm iaitu saluran jantung utama membonjol menyebabkan isteri penyanyi veteran Fredo, Suzlynna Mustapha, 60, berhasrat menjadi pemandu e-hailing.
Suzlynna berkata, itu sahaja pilihan yang ada memandangkan usianya bukan lagi muda.
"Hendak kerja dengan orang mungkin sudah tidak sesuai, apatah usia sudah lanjut. Jadi, pilihan yang saya nampak sekarang adalah pemandu e-hailing.
"Suami sudah hilang upaya untuk menyanyi menyebabkan kami kehilangan sumber pendapatan.
"Kalau saya tak bekerja macam mana nak meneruskan kelangsungan hidup. Saya ada juga menjual tart nanas, tetapi pendapatan tak seberapa," katanya kepada BH Online.
Menurut Suzlynna, jadual kerja sebagai pemandu e-hailing yang fleksible menjadi faktor memilih bidang berkenaan.
Bagaimanapun, anak kepada seniman legenda, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof itu berkata, dia bukan ingin memulakan kerja dalam waktu terdekat kerana perlu mengambil kira faktor kesihatan suaminya terlebih dulu.
"Belum boleh mula sekarang kerana ada beberapa urusan perlu diselesaikan untuk jadi pemandu e-hailing.
"Lagipun, saya kena fikirkan suami yang uzur, doktor tak sarankan saya meninggalkannya sendirian buat masa ini.
"Jadi, saya kena tunggu hingga suami kuat sikit barulah boleh mulakan pekerjaan ini.
"Kerja ini lebih fleksible, saya boleh keluar cari pelanggan dan pulang sebelum malam," kata Suzlynna.
Mengulas mengenai kenderaan, kata Suzlynnadia memiliki dua kenderaan yang dipinjamkan saudara mara, tetapi sudah berusia lebih 10 tahun.
Jadi, katanya, dia perlu merujuk kepada pihak e-hailing bagi memastikan kenderaannya layak untuk digunakan.
|
|