|
KETIKA namanya hangat terpalit kontroversi, pelawak Shuk Sahar bukan sahaja dikecam malah pernah menerima pelbagai ugutan.
Shuk atau Muhammad Shukri Mohamed Sahar, 38, berkata, apa paling menakutkan ada tergamak membuat ugutan bunuh hanya kerana terlalu marah dengannya.
"Ketika itu memang saya yang salah, cuma nak menggambarkan betapa hebatnya orang ini sehingga sampai tahap ugut bunuh.
"Ada yang cakap kalau jumpa depan-depan nak pukul. Banyak komen yang saya terima, saya rasa teruk sangat ketika itu," katanya.
Shuk berkongsi pengalaman tersebut dalam episod kedua program Dol's Podcast yang disiarkan pada malam Khamis.
Menerusi rakaman episod berkenaan, Shuk bersama Shuib dan Fizie membincangkan isu buli siber yang kini semakin membimbangkan.
Tambah Shuk dia juga tidak menolak kejadian yang berlaku sekitar tahun 2021 itu juga menjadi punca dia berdepan masalah kebimbangan melampau atau anxiety.
Menyedari ada sesuatu tidak kena, Shuk memberitahu dia pernah bertemu dengan doktor psikiatri dan diberitahu trauma punca dia mengalami anxiety.
"Kata doktor salah satu punca adalah trauma. Saya tidak menolak kemungkinan kes kena kecam sebelum ini adalah penyebab.
Banyak komen yang saya terima, saya rasa teruk sangat ketika itu
SHUK SAHAR
PELAWAK
"Saya mula sedar masalah ini ketika bercuti di Korea Selatan. Dalam keadaan cuaca sejuk, saya berpeluh, jantung berdebar dan tangan menjadi kebas.
"Saya rasa ketika itu macam kena serangan jantung," ceritanya.
Pun begitu kata Shuk, dugaan dilalui tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bangkit demi menampung kehidupan.
Malah apabila difikirkan kembali, dia sendiri tidak pernah menyangka mampu berdepan perkara seperti itu.
"Mujurlah saya kuat dan boleh buat tidak tahu. Ada orang mungkin tidak sekuat saya.
"Saya masih buat live di TikTok. Kata-kata orang itu tidak membuat membuatkan duit saya kurang, namun kalau tak buat live saya tiada duit," jelasnya. |
|