|
KUALA LUMPUR: Menyedari impak negatif daripada gejala buli siber di media sosial, pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming menyarankan ibu bapa atau penjaga sentiasa memantau aktiviti anak-anak di platform berkenaan.
Sebagai individu yang sudah berkecimpung dalam bidang penyediaan kandungan dalam media sosial selama sembilan tahun, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berpendapat kebanyakan anak muda masih belum cukup matang berhadapan dengan situasi itu.
"Saya cuma pesan terutama kepada adik-adik, mereka ini sebenarnya tak cukup matang untuk hadapi pandangan orang ramai. Macam saya sudah bermula dalam bidang ini sejak lapan tahun lalu.
"Jadi, bila daripada platform kecil pergi lebih besar, saya boleh sesuaikan dalam otak untuk terima kecaman ini.
"Tapi untuk adik-adik yang baru bermula, esok video dapat satu juta tontonan, kemudiannya lusa sudah viral, sudah tentu sukar nak hadam semuanya.
"Saya minta jasa baik ibu bapa supaya tolong pantau anak-anak. Jangan biarkan mereka terdedah dengan banyak sangat maklum balas negatif, takut tak boleh berhadapan dengan situasi ini," katanya ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media TikTok Awards Malaysia 2024 di ibu kota.
Khairul berpendapat kebanyakan anak muda masih belum cukup matang berhadapan dengan gejala buli siber. - Foto NSTP
Khairul berpendapat kebanyakan anak muda masih belum cukup matang berhadapan dengan gejala buli siber. - Foto NSTP
Pada masa sama, Khairul Aming tidak menafikan dia juga pernah dilontarkan dengan pelbagai komen negatif, malah menyifatkan perkara itu sukar dibendung.
"Kalau kata saya tiada 'haters' (pembenci) memang tipu dan ada sahaja sebenarnya. Tapi, tidaklah teruk sangat. Cuma, saya perasan wujudnya pembuli dalam semua platform.
"Tapi, sekarang susah hendak kawal sebab kadang-kadang ia berkias. Kita tengok macam tak ada apapun komen, tapi tuan badan sahaja faham yang dirinya kena serang," katanya.
Khairul Aming berkata, sebagai manusia, dia juga terkesan, namun tetap optimis dengan menganggapnya sebagai asam garam dalam bergelar pempengaruh media sosial.
"Tak boleh hendak kata tak terkesan sebab saya juga manusia yang ada perasaan. Cuma, saya faham itu sebahagian daripada industri, tapi saya tak galakkan perkara ini.
"Jaga kata-kata dalam platform dalam talian. Sebab sekali buat, ia akan kekal di situ dan akan kena balik kepada diri sendiri," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairul Aming dipilih menjadi juri untuk TikTok Awards Malaysia 2024 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 Ogos ini.
Khairul Aming yang diumumkan sebagai Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia tahun lalu berkata, satu penghormatan buatnya untuk terbabit dalam acara itu.
|
|