CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1126|Reply: 0

Zizan lebih 'introvert', segan jumpa orang ramai

[Copy link]
Post time 28-7-2024 11:26 AM | Show all posts |Read mode




KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Zizan Razak mengakui cara berfikir dan tingkah lakunya sudah mula menunjukkan kematangan dalam membuat keputusan.

Zizan atau nama sebenar, Mohd Razizan Abdul Razak berkata, barangkali situasi itu turut didorong oleh faktor usianya yang sudah menginjak 40 tahun sehingga berasakan apa dilalui ketika ini berbeza berbanding zaman muda.

Mengimbas sejak mula menceburi industri hiburan tanah air pada 2007, nama Zizan sentiasa panas dengan pelbagai kontroversi yang menghimpit terutama membabitkan kekasih silih berganti.

Bagaimanapun, bintang filem Polis Evo dan Abang Long Fadil itu berkata, dia tidak pernah berasa ralat dengan gosip kerana menganggapnya adalah proses pembelajaran yang perlu dilalui.

"Nama saya tidaklah terlalu bersih, maksud saya ada juga gosip. Tapi, kebanyakannya gosip saya dengan teman wanita sahaja. Jadi, bila sudah lama tak bercinta, tak adalah gosip.

"Selain gosip cinta, saya tak tahu kalau ada juga yang lain. Saya juga tidak pernah mengkritik atau 'mengherdik' gosip yang terjadi.

"Bagi saya, itu boleh diambil sebagai pengajaran untuk saya menjaga diri. Saya doakan yang baik-baik juga untuk mereka dihimpit gosip tak baik," katanya ditemui pada forum The Actor's Chair sempena penganjuran Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2024 di ibu negara, baru-baru ini.

Naib juara program realiti komedi, Raja Lawak musim pertama pada 2007 itu berkata, dia optimis dengan setiap kontroversi yang menghimpit kerana mampu membentuknya menjadi individu lebih matang.

"Tidak pernah kesal atau terkilan dengan gosip yang pernah bertebaran membabitkan saya dulu. Ketika itu, saya masih muda dan sedang melalui proses pembelajaran dalam hidup.

"Sama seperti bayi baru lahir, mereka tak boleh terus bekerja. Untuk menjadi matang perlu lalui banyak perkara.

"Kalau dulu bila bercinta, memang betul-betul hendak kahwin dan tak kisah kalau orang tahu. Tapi, sekarang kalau betullah saya hendak kahwin, saya fikir selagi tiada persetujuan kedua-dua keluarga, maka tak perlu teruskan.

"Saya cuba fikir seperti itu sekarang ini. Biar betul-betul sahih atau perancangan kukuh barulah boleh teruskan," katanya kepada BH Online.



Mengulas kematangan dapat dilihat dalam dirinya, Zizan berkata, dia tidak seperti dulu dan berasakan dirinya lebih 'introvert'.

"Kalau boleh lepas hadir acara, saya memang mahu terus balik rumah. Itulah yang saya rasakan, tapi tak tahulah mungkin ini juga kehidupan biasa yang dilalui oleh semua orang dalam lingkungan usia seperti saya.

"Saya keluar rumah mahu buat kerja sahaja, kemudian balik terus. Kalau ada acara membabitkan orang ramai, saya akan jadi segan sikit.

"Saya rasa mungkin boleh jadi kesan daripada jangkitan COVID-19 tempoh hari juga. Selepas itu, saya akan selalu tanya pengurus mengenai program sama ada ramai orang atau tidak.

"Saya akan tanya ada laluan belakang atau tidak. Bukan hendak jadi 'superstar', tapi saya sudah jadi segan untuk jumpa orang," katanya.

Zizan berkata, dia juga hanya akan membuat hantaran membabitkan kerja dalam media sosial, selain memilih tidak mengulas sebarang isu panas yang menjadi perbahasan ramai pihak.

"Saya akan buat hantaran biasa-biasa sahaja terutama kalau ia berkaitan kerja dalam media sosial. Saya akan 'post' gambar yang memang sudah ada.

"Tak adalah saya hendak pergi buat 'photoshoot'. Berkenaan isu viral, saya memilih tidak mengulas kecuali ada temu bual dan bertanya pandangan saya.

"Saya tidak berhak menghentam sesiapa sebab saya juga pernah buat silap," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan dipilih menjadi penasihat untuk MIFFest 2024 yang sudah memasuki edisi ke-7, tahun ini.

MIFFest yang sudah memasuki edisi ke-7 tahun mengangkat tema 'Uncaged' iaitu sebagai tanda peralihan dari sempadan atau era konvensional berlangsung di The Exchange TRX, Kuala Lumpur dan GSC Cinemas sejak 21 Julai lalu hingga Ahad ini.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 11:45 PM GMT+8 , Processed in 0.848571 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list