|
Kuala Lumpur: Penyampai radio, Fizi Ali, masih belum mendedahkan wajah dan nama anaknya yang selamat dilahirkan pada 3 Julai lalu.
Fizi, 35, atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin, berkata, dia dan isteri, Siti Zulaikha, 31, memilih untuk menunggu dahulu sehingga selesai proses berpantang.
"Nama anak belum kami dedahkan dan belum didaftarkan lagi. Maksudnya, boleh ditukar lagi kalau ada perubahan. Gambar wajah anak pun kami belum dedahkan lagi kerana takut penyakit ain.
"Tapi, senarai nama memang dah ada dan kami pun dah panggil dengan nama. Saya dah isteri sepakat selepas dia selesai menjalani proses berpantang, barulah kami kongsikan," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fizi yang juga penyampai radio Hot FM, dia akan kongsikan gambar anaknya di Instagram apabila tiba masanya untuk memberi peluang kepada saudara-saudara jauh ingin melihat.
"Ada ramai yang DM dan bertanya, nak tengok wajah anak dan sebagainya. Kami pun nak tunjukkannya sebab kami faham ada saudara mara yang jauh dan tak dapat ziarah.
"Sekurang-kurangnya, kalau kami kongsi di media sosial, dapatlah mereka tengok. Terima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga," katanya.
Fizi juga bersyukur kerana proses menyambut cahaya mata mereka itu berjalan dengan mudah dan belum mengatur rancangan untuk majlis akikah sehingga tiba masa yang sesuai.
"Bersama isteri, kami lebih banyak kepada benda yang menyenangkan masing-masing. Contohnya, sewaktu berkahwin, kami adakan akad nikah sahaja dan dipermudahkan.
"Sewaktu nak tahu jantina pun, kami tak ada buat 'baby shower' dan sebagainya. Doktor pun tanya, nak tahu jantina anak tak. Kami cakap, tak apa sebab yang penting, anak sihat. Jadi, majlis akikah pun kami belum rancang," katanya.
Fizi mendirikan rumah tangga menerusi perkahwinan kedua dengan pasangannya, Siti Zulaikha pada 23 Oktober 2023. Terdahulu, Fizi juga memiliki cahaya mata pertama, Ameena Sofia, 5, hasil perkahwinan terdahulu dengan pelakon, Shakilla Khoriri.
|
|