|
SEJAK bergelar artis 17 tahun lalu, Zizan Razak, 40, menyedari dia sering terbabit dengan gosip berkaitan percintaan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, bagaimanapun ketika ini dia yang didakwa seakan-akan sudah 'bersih' daripada gosip mungkin disebabkan tidak bercinta lagi dan memiliki kekasih hati.
"Saya bukan dah 'bersih' daripada gosip, rasanya tidak juga. Cuma, sebelum ini kebanyakan gosip membabitkan saya dengan 'girlfriend' (teman wanita) saja. Jadi, bila dah lama tak bercinta, tak ada gosip.
"Saya rasa itu saja (terpalit gosip cinta) sebab selain bercinta saya memang tak ada gosip benda lain dan minta Allah jauhkan. Saya pun selama ini tidak pernah melenting dengan semua gosip yang berlaku.
"Pada saya, itu diambil sebagai pengajaran untuk saya dan kita semua. Doakan yang terbaik juga untuk mereka terkena benda-benda tidak diingini (gosip) itu," katanya.
Ditanya perasaan terkilan dan kesal dirasai kerana gosip cinta berkenaan, Zizan berkata, dia tidak sampai ke tahap itu kerana memahami ketika tercetusnya gosip terbabit usianya masih muda serta baru bergelar anak seni.
"Ketika itu, kita masih muda. Kalau bayi yang baru lahir pun, takkan dah terus boleh 'drive' (memandu) atau jadi pelakon ke, ia pasti kena lalui proses muda yang membawa kepada matang.
"Umpama sekarang kalau nak 'dating' pun pandai-pandailah. Kalau dulu, memang kita suka benda yang macam itu (gosip) sebab tak apa aku betul-betul nak kahwin dengan dia. Tak kisah pun kalau orang tahu.
"Tapi, pada masa kini kalau saya nak ke situ (bercinta dan kahwin), saya fikir jika selagi tak ada persetujuan kedua-dua belah keluarga, jangan cuba-cuba nak menunjuk-nunjuk (kepada umum)," katanya.
Menurut pelakon filem Polis Evo ini, dia cuba berfikir dengan baik dan positif untuk memastikan sekiranya sampai jodoh suatu hari nanti, biar perkara itu sudah sahih dan baru dikongsikan kepada orang ramai.
Terdahulu, Zizan ditemui media pada penganjuran forum The Actor's Chair iaitu antara program yang berlangsung sepanjang penganjuran Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-7.
Selain Zizan, pelakon popular Zul Ariffin juga diundang menjayakan forum berkaitan filem itu berikutan mereka berdua bertindak selaku juri untuk menilai filem terpilih dari dalam dan luar negara di MIFFest.
|
|