|
TEMPOH 14 tahun di dalam kerjaya industri seni lakonan tanah air tidak pernah menjadikan Jay Iswazir sebagai seorang yang bongkak mahupun meninggi diri.
Walaupun sudah mampu berdiri dalam kalangan nama-nama senior dalam cabang seni ini, Jay, 42, tetap menyambut baik kehadiran pelakon generasi baharu, walaupun ada antaranya bukanlah mereka yang memiliki latar belakang lakonan.
Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir Ismail berkongsi, bagaimana kehadiran generasi baharu pelakon terutamanya, pempengaruh media sosial menjentik fikirannya untuk terus mengkaji, apa yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.
"Tentunya impian saya nak jadi teraju utama. Pernah ada, tapi yang serius betul-betul, belum ada. Saya percaya dengan rezeki dan sentiasa beringat agar tidak berada dalam zon selesa kerana sekarang kita dah berada dalam satu fasa yang permainannya berbeza.
"Contohnya, individu seperti pempengaruh dan bukan berlatarbelakangkan lakonan, tapi ada 'content' menarik dan orang suka. Saya kena gilap apa yang kurang pada diri saya supaya baru ada bukti untuk orang tawarkan kepada saya," katanya.
Menurut Jay, walaupun cintanya terhadap seni tidak pernah berbelah bahagi, dia akur dan bersikap realistik sekaligus mengakui bahawa perlu ada keseimbangan antara seni dan perniagaan dalam penghasilan karya untuk layar lebar.
"Saya ambil benda positif. Kalaulah pempengaruh atau mereka yang tidak ada latar belakang lakonan ini boleh naik, kita kena kaji apa yang membuatkan dia tertarik. Bercakap mengenai filem, kita tak boleh lari daripada perniagaan. Saya tak tolak seni, tapi kena seimbangkan juga antara perkara itu," katanya.
Kini, Jay sedang membintangi filem seram berjudul Dajal: Satu Malam Diperdajal arahan pengarah, Pierre Andre. Berkongsi pengalamannya untuk bekerja kali kedua di bawah arahan Pierre, Jay meluahkan rasa syukur kerana wujud keserasian antara mereka.
"Kali kedua bekerjasama dengan Pierre membuat saya teruja. Saya rasa, dia yang mengutarakan nama-nama pelakon kepada David Teo. Maknanya, kerjasama pertama kami itu membuatkan kami serasi.
"Sebagai pelakon, saya ada idea juga dan dia suka pelakon yang begitu. Gabungan idea yang memantapkan dan membuatkan hasil itu kemas, menarik perhatian dia," katanya.
Berkongsi mengenai watak Adam yang dipegangnya dalam filem ini, Jay turut bercerita mengenai rujukannya, iaitu filem Pengabdi Setan dan bagaimana dia ingin filem kita, membawa identiti dan wajah kita.
"Watak saya sebagai Adam. Sebenarnya, saya kurang gemar mengatakan filem ini lain daripada filem lain. Jadi, ia adalah filem seram, yang ada identiti sendiri yang mana kali ini saya nampak pengarah, Pierre Andre menonjolkan satu nafas baharu dalam filem seram di Malaysia.
"Dia menonjolkan satu kumpulan yang bermain dengan benda-benda menyeramkan dan bersifat iblis ini. Di sini, saya adalah seorang lelaki yang 'menganut' dan dalam filem ini, kemunculan saya tak banyak.
"Tidak ditonjolkan secara jelas siapa Adam ini sebenarnya. Cuma, ada bayangan yang menyatakan sebenarnya, benda yang berlaku di rumah ini adalah berkaitan satu organisasi yang mengumpul 'penganut'.
"Yang paling saya nampak, filem dari Indonesia, Pengabdi Setan. Jadi, saya dapat bayangkan ada entiti dan itulah menjadi rujukan saya. Saya antara orang yang kalau boleh, filem kita itu menampakkan wajah dan identiti Malaysia. Kalau kita tengok filem dari luar, kita tahu ia dari negara mana.
"Jadi, bila tengok poster filem ini, nampak moden dan bertanya sendiri, adakah ia seram seperti filem seram lain yang pernah ada di Malaysia?" katanya.
Selain Jay, filem arahan dan tulisan Pierre itu juga turut dibintangi Amir Nafis, Bidin Al Zaifa, Da'i Syed, Khatijah Tan dan ramai lagi.
|
|