|
PETALING JAYA – Berdepan kecaman gara-gara sanggup melakukan babak nasi kangkang yang didakwa memualkan, pelakon Dayang Areeda menegaskan hanya memenuhi tuntutan skrip drama Terjerat.
Kata Dayang atau nama lengkapnya Dayang Areeda Datu Abdul Razak, 30, adegan dalam drama siaran platform penstriman iQIYI itu menyelitkan pengajaran agar menjauhi perbuatan syirik.
“Setiap babak mempunyai kekuatan termasuk watak saya iaitu Shasha yang cuba menundukkan Faliq lakonan Aliff Aziz dengan menggunakan sihir iaitu nasi kangkang.
“Babak ini bukan dibuat secara suka-suka tapi mempunyai pengajaran, bahkan dalam realiti masih terdapat individu terikat dengan amalan khurafat.
“Kita kena ambil iktibar berkenaan amalan mistik seperti ini yang masih wujud dalam dunia serba moden dan canggih,” katanya.
Menerusi video yang tular dalami aplikasi X, jelas pelakon kelahiran Kudat, Sabah itu melakukan aksi tersebut dengan sepenuh hati sehingga mengundang kebencian penonton.
Menurutnya, pertama kali melakukan adegan ‘berani’ itu turut pada mulanya membuatkannya gementar untuk beraksi disebabkan bimbang komen netizen.
“Mula-mula agak susah sebab saya tak tahu macam mana nak buat babak itu tapi selepas dibantu pengarah dan pelakon lain saya dapat hayati sehabis baik.
“Jujurnya memang agak malu, tapi segala-galanya dipermudahkan. Terus terang saya bukan takut nak buat adegan ini kerana ia hanya lakonan, cuma bimbang orang salah tafsir.
“Tetapi selepas memahami tujuan babak ‘buat’ nasi kangkang itu memang perlu, saya teruskan sahaja bagi melengkapkan cerita,” katanya.
Menerusi maklum balas ramai terhadap babak tersebut, sehingga kini meraih hampir 400,000 tontonan dalam aplikasi X.
Selain Dayang dan Aliff, Terjerat yang turut membariskan aktres Ruhainies dan Fendy Bakry bakal melabuhkan tirainya hari ini.
Drama Original iQIYI 12 episod arahan Azmi Hatta itu mengisahkan Nadia lakonan Ruhainies yang terkena tempias hutang suaminya, Izham (Fendy Bakry).
Ini kerana Nadia dijadikan taruhan suaminya kepada pemiutang dan tanpa diduga, Nadia bertemu Faliq (Aliff) yang akhirnya mencetuskan perasaan cinta.
Masing-masing punya pasangan hidup membuatkan hubungan mereka berada dalam dilema iaitu memilih kekal dengan teman hidup sedia ada atau terus terjerat dalam hubungan yang terlarang. – |
|