Pearly dan Thinaah ketika beraksi menentang beregu Wanita Korea Selatan, Kim So Yeong dan Kong Hee Yeng dalam acara Badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle hari ini. - Gambar BERNAMA
PARIS: Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah selaku beregu wanita pertama negara untuk mara ke separuh akhir di pentas Sukan Olimpik selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan.
Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena pagi ini (petang di Malaysia), Pearly-Thinaah sekali lagi memperagakan aksi cemerlang untuk mencipta satu lagi kejutan dengan kemenangan 21-12, 21-13 dalam masa 42 minit ke atas beregu ranking ke-10 itu.
Pasangan ranking ke-12 itu bermula cemerlang dengan mendahului 11-5 sebelum mencatatkan kemenangan selesa 21-12. Selepas ketinggalan 2-4 pada set kedua, juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bangkit untuk mengesahkan slot ke separuh akhir menerusi kemenangan pertama ke atas wakil Korea itu dalam dua pertemuan.
Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, So Yeong-Hee Yong meraih gangsa selepas mengetepikan cabaran rakan senegara Lee So Hee-Shing Seung Chan pada perlawanan penentuan pingat.
Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.
Pearly-Thinaah seterusnya akan berdepan cabaran sengit menentang pasangan juara dunia empat kali Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi di separuh akhir esok selepas tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A, Sabtu lepas.
Qing Chen-Yi Fan yang merupakan pemenang pingat perak edisi Tokyo 2020 menyingkirkan wakil Bulgaria Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8 pada satu lagi aksi suku akhir.
Bercakap kepada Bernama selepas detik bersejarah itu, Pearly-Thinaah yang gembira atas kejayaan mereka mahu kekalkan fokus untuk dua aksi seterusnya.
“Sekali lagi, cabaran utama adalah diri kami sendiri...Kami agak resah dan tidak dapat tidur dengan baik sepanjang malam kerana tahu perlawanan hari ini sangat penting kepada kami dan sangat inginkan kemenangan. Kami memasuki gelanggang dengan tenang, fokus pada setiap mata dan menikmati rali-rali, jadi ia telah membawa kejayaan hari ini.
“Dalam perlawanan seterusnya, kami tidak akan kehilangan apa-apa, dari pusingan robin hingga sekarang, kami memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan saya rasa kami tiada apa untuk disesalkan. Untuk perlawanan seterusnya, seperti biasa kami tidak mahu pulang dengan sebarang sesalan dan hanya menikmati setiap mata,” kata Pearly.
Sementara itu, Thinaah berkata walaupun gembira dengan sejarah itu, mereka tidak mahu terbuai dengannya kerana mempunyai misi yang lebih penting.
“Sangat sukar untuk dipercayai dan sangat gembira untuk kemenangan hari ini. Kami bangga sesama kami, kami benar-benar mahu fokus, kami tidak mahu memikirkan keputusannya…Kami memikirkan prosesnya, jadi kami menikmati setiap rali yang dimainkan.
“Itulah yang membantu kami hari ini dan pastinya sokongan daripada Pearly dan jurulatih benar-benar meningkatkan motivasi kami. Masih ada beberapa perlawanan lagi, kami hanya perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya” kata Thinaah.
Sekiranya Pearly-Thinaah berjaya mengatasi Qing Chen-Yi Fan pada aksi esok, mereka akan mencabar untuk pingat emas pertama negara pada Sabtu ini dan jika terkandas, terpaksa beraksi dalam penentuan pingat gangsa.
Pearly-Thinaah yang memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan, berjaya bangkit mengubah nasib mereka dengan mencipta kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk melepasi ‘kumpulan maut’ itu. - BERNAMA
|