Edited by maklukpenggoda at 2-8-2024 12:55 AM
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 65, bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pelaburan yang didakwa gagal membayar dividen dan memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.
Sehubungan itu, Jamal memberitahu dia sudah pun menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada peguam untuk tindakan lanjut.
"Sekarang, saya sudah lantik peguam dan mereka sudah membuat siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
"Segala laporan dan bukti sudah diserahkan untuk siasatan lanjut," katanya ditemui pada majlis pelancaran single kumpulan Cherry On Top berjudul Ketagih, hari ini.
Kehadiran Raja Pop itu untuk menyokong anak sulungnya, Osama Yamani yang juga gitaris kumpulan itu.
Dalam pada itu, Jamal turut menyangkal dakwaan syarikat pelaburan itu adalah 'scammer' kerana ia masih beroperasi hingga hari ini.
"Bukan saya sahaja terkena, tapi ramai juga termasuk organisasi dan individu berpengaruh.
"Saya cuma boleh kata saya ada buat pelaburan, tapi sebelum itu, saya sudah periksa di Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Memang syarikat ini wujud.
"Ini bukan 'scam' sebab syarikat ini masih beroperasi. Sekarang semuanya dalam proses, pihak sana juga berhubung melalui peguam saya. Zaman sekarang ini mahu buat apa-apa kena berhati-hati," ungkap penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu.
Terdahulu, pada awal 2018, Jamal diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan 12 peratus setahun.
Antara 2018 sehingga 2020, penyanyi bervokal garau itu mendakwa membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.
Namun, dakwa Jamal, hingga hari ini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dan terma yang sudah dipersetujui.
Jamal turut mendakwa menerima satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan oleh syarikat pelaburan menyatakan sudah tiada keupayaan membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan kerana keuntungan syarikat terjejas disebabkan penularan COVID-19.
|