Jasmine (duduk kiri) bersama Michelle (duduk kanan) bersama ahli ODAAK merakam kenangan selepas selesai sidang media 2024 Borneo Idol Dance Arts Competition di Kuching semalam. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Persatuan Kesenian Tarian Oriental Kuching (ODAAK) mengesahkan lebih 100 peserta akan menyertai pertandingan akhir 2024 Borneo Idol Dance Arts Competition pada 21 September 2021.
Menurut Presiden yang juga Penaung ODAAK Jasmine Tan, kesemua peserta datang dari seluruh pelosok Malaysia berumur antara 7 tahun hingga 65 tahun.
"Kita telah mengadakan saringan di Bintulu dan Sabah sebelum ini dan acara saringan untuk bahagian Kuching akan diadakan pada pagi 21 September 2024 di Dewan Setia Raja Kuching.
Beliau berkata demikian pada sidang media 2024 Borneo Idol Dance Arts Competition di Bilik Mesyuarat di sebuah hotel di sini.
Terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu Solo Junior atau Berkumpulan bagi Tarian K-Pop, Tarian Kareografi dan Tarian Oriental.
Ujarnya, 2024 Borneo Idol Dance Arts Competition dianjurkan bersama Just Dance Studio Bintulu dan The S Belly Dance Troupe + Intellart Tuition & Talents Centre Kota Kinabalu. Pihaknya turut percaya bahawa seni tarian patut diiktiraf bermula dari peringkat tempatan sehingga ke antarabangsa bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menyemai rasa cinta akan tarian.
Bagi pemenang untuk pertandingan akhir kategori solo remaja atau dewasa di tempat pertama akan diberikan trofi, sijil dan wang tunai RM500 sementara tempat kedua berupa trofi, sijil dan wang tunai RM300.
Bagi hadiah tempat ketiga bagi kategori yang sama diberikan piala, sijil dan wang tunai RM200 serta Anugerah Cemerlang diberikan pingat dan sijil.
Sementara itu bagi Kategori Kumpulan tempat pertama akan membawa pulang piala, pingat, sijil dan wang tunai RM800 manakala tempat kedua piala, pingat, sijil dan wang tunai RM600.
Pada masa yang sama, tempat ketiga akan membawa pulang piala, pingat, sijil dan wang tunai RM500 serta Anugerah Cemerlang akan membawa pulang pingat dan sijil.
Kata beliau, pihaknya telah menjalani proses pemilihan yang teliti untuk geran yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
"Antara kriteria pemilihan untuk geran ini adalah amalan inovatif, sumbangan kepada pendidikan seni tarian, profesionalisme, standard etika, penglibatan komuniti dan impak positif terhadap sektor perancangan seni tarian di Sarawak.
“Kami berbesar hati menerima geran ini daripada pihak kementerian. Justeru akan memberikan komitmen untuk mempromosikan budaya tarian dan menyokong industri perancangan seni tarian di Sarawak dan Malaysia.
"Geran ini adalah bukti dedikasi pasukan kami dan inisiatif perancangan acara strategik yang telah kami laksanakan sepanjang tahun ini," ujarnya. Hadir sama ialah Naib Presiden ODAAK Michelle Yii dah ahli ODAAK lainnya.
|