Pasukan penyelamat berbincang sesuatu sebelum memulakan operasi mencari mangsa. - Gambar JBPM
DARO: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berhampiran Rumah Ibok, Nanga Semah di sini, terpaksa ditangguhkan hari ini selepas usaha sepanjang hari gagal mengesan mangsa.
Mangsa yang dikenali sebagai Raya Adam, 45, dilaporkan hilang sejak Selasa setelah pergi mandi di sungai berhampiran sawah padi sekitar jam 8 pagi.
Usaha pencarian awal oleh isteri mangsa dan penduduk kampung tidak membuahkan hasil, menyebabkan laporan polis terpaksa dibuat pada jam 5.10 petang pada hari yang sama.
Operasi pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan air dalam radius 100 meter dari lokasi mangsa disyaki lemas. - Gambar JBPM
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor yang diketuai oleh Nicholas Belulin bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung telah memulakan operasi pencarian pada hari ini.
"Mereka menggunakan teknik pencarian di permukaan air dan 'O Ring Boat' dalam radius 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Walaupun pelbagai teknik pencarian telah digunakan dan strategi operasi diperincikan dalam taklimat bersama agensi lain, mangsa masih gagal dikesan," kata kenyataan itu.
Operasi SAR ditangguhkan jam 5 petang hari ini dan dijadualkan disambung semula esok (Khamis).
|