Anggota bomba membuat pemeriksaan di lokasi. - Gambar JBPM
KANOWIT: Seorang pemilik rumah persendirian berdepan detik cemas apabila atap kediamannya tercabut dan diterbangkan angin kencang dalam kejadian di Nanga Dap, Jalan Kanowit-Song, hari ini.
Dia yang bersendirian di rumah ketika kejadian hujan lebat serta angin kencang itu berlaku, segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit untuk mendapatkan bantuan.
Menurut jurucakap BBP Kanowit, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.25 pagi.
"Komander operasi mendapati terdapat sebuah rumah persendirian yang bumbung rumah dan atap rosak teruk disebabkan angin kuat," katanya dalam satu kenyataan.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bomba menamatkan operasi dan bertolak balik ke balai.
|