Mangsa menunjukkan kesan lebam di lengannya ketika cuba menghalang suspek daripada merogolnya.
KUCHING: Seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol selepas dibawa keluar pada malam 31 Ogos, baru-baru ini.
Sumber memberitahu, difahamkan mangsa, 20-an, yang bekerja sebagai pengasuh telah dipaksa keluar oleh seorang lelaki yang dikenalinya dengan panggilan 'Hafiz' sekitar jam 7.45 malam.
Mangsa seterusnya dikatakan dibawa menaiki sebuah kereta bersama empat lelaki lain yang tidak dikenalinya.
"Selepas kira-kira tiga jam menaiki kereta tersebut di sekitar Kuching, mangsa telah dibawa ke kawasan Matang dan dibawa masuk ke sebuah hotel di mana dia telah dirogol oleh salah seorang daripada lelaki terbabit dikenali sebagai 'Agustine'," kata sumber.
Selepas kejadian itu, mangsa telah dihantar pulang dan dia telah mengadu kepada majikannya yang seterusnya menghantarnya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi semasa dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut kes masih dijalankan.
"Ada laporan," katanya semasa ditanya pemberita.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sebagai kes rogol.
Manakala mangsa juga telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.
|