SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam misi ke arah memerangi pengambilan gula menerusi satu program yang dikenali sebagai 'War on Sugar.'
Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni (gambar) berkata, ini berikutan terdapat peningkatan prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia tahun lalu iaitu 54.5 peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.
"Berdasarkan Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, meskipun prevalens diabetes dalam kalangan dewasa menurun kepada 15.6 peratus berbanding 18.3 peratus pada 2019, namun Malaysia masih tersenarai antara negara dengan prevalens tertinggi di Asia Tenggara dengan nisbah satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap diabetes," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) dan One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu, hari ini.
Bagi menangani isu semasa itu katanya, KKM telah bertindak melalui pendekatan dan strategi yang digariskan melalui pelan strategik jangka panjang serta memperkenalkan ANMS, dengan pelbagai inisiatif dipersetujui untuk dilaksanakan termasuk sambutan BMSS.
"Sambutan ini merupakan satu inisiatif di bawah ANMS, untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan pendekatan 'whole of nation.'
"BMSS disambut pada bulan September setiap tahun, bagi negeri Sarawak, BMSS disambut lebih awal iaitu kembara bermula pada 15 Ogos 2024 dan akan berakhir pada 8 Oktober 2024," katanya sambil menambah tema pada tahun ini adalah Tingkatkan Imuniti Badan, Budayakan Hidup Sihat.
Tema itu tambah beliau, adalah selari dengan hala tuju KKM untuk beralih fokus daripada 'sick care' kepada 'health care' dan 'wellness' dengan menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat.
"Objektif BMSS adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan meningkatkan literasi kesihatan dan solidariti promosi antara agensi, NGO, swasta dan komuniti.
"Aktiviti BMSS akan memfokuskan kepada lima domain pembudayaan hidup sihat iaituaktiviti fizikal, minda sihat, pemakanan sihat dan selamat, pencegahan tingkah laku berisiko serta kebersihan diri dan persekitaran," ujar Ahli Parlimen Sibuti itu.
|