Dr Abdul Rahman disambut oleh para ibu bapa dan guru pada Program Jogaton Sekolah Rendah Islam Al Amin Kuching 2, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Sekolah Antarabangsa Islam pertama di Sarawak yang dijangka siap pembinaannya pada penghujung 2027 bakal memberi peluang kepada para pelajar cemerlang dalam aliran agama Islam untuk menyambung pengajian di peringkat sekolah menengah.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata walaupun sekolah itu bertaraf antarabangsa di mana pelajar-pelajar dari negara minoriti Islam dipelawa untuk belajar, namun peluang tetap diberikan kepada para pelajar tempatan yang cemerlang untuk menyambung pelajaran di sekolah itu nanti.
"Kokurikulum yang berlandaskan silibus antarabangsa Cambridge dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah Singapura bakal mempermudahkan pilihan anak-anak kita yang telah tamat sekolah menengah untuk mencari hala tuju untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti.
"Maknanya, peluang untuk mereka belajar di luar negara adalah cerah kerana silibus yang diajarkan di Sekolah Antarabangsa Islam di sini telah diiktiraf di peringkat antrabangsa,” ujarnya semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Jogaton Sekolah Rendah Islam Al Amin Kuching 2 di sini, pagi tadi.
Dr Abdul Rahmah berkata, Kolej Universiti ICATS Sarawak juga akan dinaik taraf menjadi sebuah universiti penuh dan pembinaan bangunan baharu universiti tersebut akan ditempatkan berhampiran Telaga Air.
"Salah satu silibus pendidikan tinggi yang ditekankan oleh kerajaan negeri ialah berkenaan aeroangkasa.
"Minat kepada bidang ini harus dipupuk dalam kalangan anak-anak kita agar mereka menjadi pakar dalam bidang ini kerana kita mampu menyediakan silibus berkenaan di sini dalam tempoh dua hingga tiga tahun nanti tanpa perlu pergi ke tempat yang jauh.
"Ini merupakan salah satu hala tuju untuk kita terapkan kepada anak-anak kita di samping memberi penekanan ilmu agama Islam. Dengan kata lain, apabila mereka dewasa, ilmu yang mereka ada akan seimbang iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat,” katanya.
Terdahulu, Guru Besar Sekolah Rendah Islam Al Amin Kuching 2 Noren Alias berkata, penganjuran jogaton yang julung kali diadakan di sekolah berkenaan adalah selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalakkan pelajar untuk memiliki kesihatan yang baik.
"Perkara ini telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di mana sukan merupakan wadah yang terbaik untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing serta memupuk perpaduan bagi mewujudkan negara dan bangsa yang maju dan berjaya.
"Selain itu, penglibatan pelajar pada hari ini akan dinilai dalam penilaian Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum atau PAJSK.
"Saya ucapkan tahniah kepada pelajar dan juga ibu bapa yang turut berlari bersama anak-anak mereka menamatkan larian dan kepada yang tidak berjaya, sijil penyertaan akan diberikan oleh pihak sekolah nanti," kata Noren.
|