Gambar hiasan
KUCHING: Sarawak giat memainkan peranannya dalam menangani perubahan iklim melalui inisiatif seperti penanaman pokok dan pelaburan dalam sistem pengangkutan awam yang dikuasakan dengan sumber tenaga bersih.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini jelas terbukti misannya, apabila Sarawak telah mencapai sasaran untuk menanam 35 juta pokok pada bulan Jun tahun ini.
Inisiatif sebegini katanya, adalah sebagai sebahagian daripada Kempen Penghijauan Malaysia peringkat kebangsaan, yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.
“Justeru, usaha untuk melindungi hutan negeri kita sangat penting bukan sahaja dapat mewujudkan persekitaran udara dan air bersih bahkan membantu dalam menangani perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama yang bertajuk 'Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza' pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Singapura hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak juga melabur dalam pengangkutan awam seperti sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen sepanjang 50km di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Langkah ini katanya, bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian bagi mewujudkan bandar yang mampu bersedia untuk masa depan.
“Sarawak sedang mewujudkan bandar berdaya tahan dan mampan yang dapat meningkatkan kualiti hidup sambil menangani cabaran alam sekitar.
“Bandar pintar di negeri ini akan menampilkan infrastruktur hijau termasuk bangunan cekap tenaga, kemudahan sisa kepada tenaga dan sebagainya,” katanya.
Malah ujarnya, Sarawak sedang menerajui penanaman padi hibrid dan pertanian berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan luar bandar, selaras dengan matlamatnya untuk mengurangkan kemiskinan dan memperbaiki taraf hidup rakyat.
“Usaha ini juga akan menyokong sasaran negeri untuk mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras menjelang 2027, selain dapat mewujudkan amalan pertanian mampan yang mampu memberi manfaat kepada petani dan memenuhi matlamat kelestarian yang lebih luas.
“Dan ketika Sarawak terus maju, tumpuan kita (Kerajaan Sarawak) adalah untuk memastikan kemakmuran dikongsi oleh semua, terutama mereka di kawasan luar bandar,”ujarnya.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan melancarkan laporan kelestarian tahunan untuk memantau sumbangan sektor awam kepada inisiatif hijau negeri selain membantu membina kepercayaan rakyat dan rakan kongsi antarabangsa.
Abang Johari percaya dengan menyepadukan pertimbangan iklim dalam setiap keputusan, Sarawak menerajui teladan dengan peraturan yang ketat dan laporan yang telus, memperkukuhkan komitmen negeri terhadap masa depan yang mampan.
“Inisiatif ini menunjukkan bahawa sambil komited terhadap pembangunan mampan, kita tetap fokus kepada sasaran mengurangkan pelepasan gas dan menguatkuasakan peraturan untuk memastikan masa depan yang berdaya tahan,” katanya.
|