Mayat mangsa ditemui di kawasan kapal berlabuh di Batang Igan dekat Sibu, malam tadi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
SIBU: Mayat seorang pemuda yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Lanang pada Jumaat lalu, akhirnya ditemui malam tadi, mengakhiri operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak empat hari lalu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, pihak dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan pada jam 10:07 malam mengenai penemuan mayat di kawasan kapal berlabuh di sebuah dermaga di Batang Igan.
"Mayat lelaki dewasa itu ditemui terperangkap dalam timbunan kayu di antara kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pasukan keluaran operasi bersama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) segera dikerahkan ke lokasi menggunakan bot untuk mengambil mayat tersebut.
"Setelah berjaya mengangkat mayat, proses penyerahan kepada pihak polis dilakukan untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah, pada awalnya, identiti mangsa tidak dapat dipastikan.
Namun, pada jam 5.54 pagi tadi, pihak polis mengesahkan identiti mayat tersebut ialah Aaron Wisley Jamut, 23 tahun.
Sebelum ini, laporan mengenai insiden tersebut diterima oleh pihak bomba sekitar jam 1 tengah hari, Jumaat lalu.
Lima anggota dari BBP Sibu Sentral segera digerakkan ke lokasi kejadian selepas Balai Polis Lanang melaporkan seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai hilang selepas motosikalnya ditemui di atas Jambatan Lanang.
Bapa mangsa turut membuat laporan polis menyatakan bahawa anaknya telah keluar rumah pada malam Khamis sekitar jam 8 malam untuk memeriksa wang gajinya di bank, namun tidak pulang selepas itu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi, mengesahkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Penemuan mayat itu sekali gus menamatkan operasi pencarian yang menimbulkan kebimbangan komuniti tempatan.
|