Pasukan bomba memadam kebakaran kereta susulan kemalangan di Jalan Matang-Batu Kawa, di Kuching awal pagi tadi.
KUCHING: Seorang wanita maut dalam kemalangan di Jalan Matang-Batu Kawa, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 24 tahun dan beralamatkan dari Taman Satria Jaya di sini.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kenderaan telah hilang kawalan lalu melanggar pokok di tepi jalan.
“Mangsa mengalami kcederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut juga masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya turut dikerahkan ke lokasi kejadian selepas kereta mangsa dikatakan terbakar dipercayai akibat impak kemalangan tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan pada jam 2.30 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta akibat daripada kemalangan kendiri.
“Mangsa (pemandu) telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM,” katanya.
Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran sepenuhnya sebelum bertolak balik ke balai.
|