BOCOR: Kebocoran gas peti sejuk menyebabkan seorang pengsan dan dua kerani sekolah sesak nafas.
KOTA KINABALU: Seorang individu pengsan manakala dua kerani sekolah mengalami sesak nafas selepas berlaku kebocoran gas peti sejuk di sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) di Likas di sini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, kesemua mangsa bagaimanapun dilapor berada dalam keadaan selamat selepas kejadian jam 2.25 petang itu.
Katanya, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.26 petang.
“Semasa pihak bomba tiba di lokasi berlaku kebocoran gas dan terdapat tiga orang mangsa iaitu kerani sekolah mengalami sesak nafas selepas terhidu gas terbabit.
“Seorang lagi mangsa yang pengsan akibat kejadian dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa yang sesak nafas di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kesemua mangsa berusia 52 hingga 56 tahun itu bagaimanapun dilapor berada dalam keadaan selamat dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 3.29 petang,” katanya.
|