Edited by Vellfire at 21-9-2024 05:06 PM
Safiee (kanan) bersama Fairul semasa merasmikan Sarawak Children's Literature Festival di Pustaka Negeri Sarawak Sibu, hari ini.
SIBU: Sarawak Children's Literature Festival merupakan satu program yang dapat meningkatkan minat kanak-kanak terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, program terbabit amat baik serta memberi banyak maklumat kepada kanak-kanak sekolah, selain turut menerapkan unsur-unsur kesedaran.
"Penglibatan agensi juga amat baik dan ia bukan sahaja menjerumus kepada yang berkaitan dengan akademik semata-mata, tetapi juga ada unsur-unsur yang memberi kesedaran, contohnya penglibatan agensi seperti Jabatan Penjara dan sebagainya.
"Program kebanyakan begitu menarik dan sesuai untuk kanak-kanak. Ini sekali gus dapat menaikkan minat kanak-kanak terutama dalam bidang STEM," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Sarawak Children's Literature Festival di Pustaka Negeri Sarawak Sibu, hari ini.
Menurut Safiee, beliau juga mendapati program itu amat sesuai serta selari dengan matlamat dasar kerajaan pada masa ini terutama bagi menggalakkan kanak-kanak menceburi bidang STEM.
"Kedua, saya dapati mereka juga membawa beberapa program yang memberi kesedaran kepada kanak-kanak khususnya tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
0
Safiee (kiri) membuat dekorasi pastri kek puff yang menjadi salah satu aktiviti semasa Sarawak Children's Literature Festival di Pustaka Negeri Sarawak Sibu, hari ini.
"Ini juga selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2023 kerajaan negeri," jelas beliau sambil berharap program akan mendapat sambutan baik daripada murid-murid di peringkat sekolah rendah.
Safiee juga berkata, ramai beranggapan Pustaka Negeri Sarawak lebih kepada perpustakaan atau tempat membaca buku dan sebagainya.
Namun katanya, program Sarawak Children's Literature Festival yang dibuat ini bersifat menyeluruh serta peluang terbaik kepada pelajar-pelajar khususnya untuk melihat sendiri pameran yang dibuat.
"Saya dapati banyak pameran yang melibatkan pelbagai agensi yang begitu baik untuk dilawati dan difahami. Saya percaya ini akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan minat pelajar khususnya dalam bidang-bidang yang mereka minati," ujar beliau.
Sarawak Children's Literature Festival berlangsung selama dua hari pada 21 dan 22 September 2024.
Hadir sama ialah Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Sibu Fairul Azli.
|