Usaha pencarian mangsa baham buaya diteruskan pada hari keempat di Sungai Tatau, hari ini.
BINTULU: Radius pencarian mangsa dibaham buaya di Sungai Tatau di sini yang memasuki hari keempat hari ini diperluaskan sehingga tujuh kilometer ke hulu dan hilir sungai terbabit.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata selepas selesai sesi taklimat pergerakan operasi jam 8 pagi, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan dimulakan.
"Difahamkan ahli-ahli keluarga mangsa turut mengadakan upacara 'miring' bagi memohon keberkatan serta mempercepat mangsa ditemui dalam kepercayaan masyarakat Iban," katanya.
Setelah selesai pembahagian kawasan pencarian, pasukan terlibat meneruskan usaha pencarian ke kawasan ditetapkan dalam taklimat.
"Sebarang perkembangan semasa atau penemuan terbaharu berhubung insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," jelasnya.
Dalam kejadian berlaku petang Rabu lalu, mangsa kanak-kanak perempuan, Cicilia Julan Intik berumur 6 tahun dibaham buaya ketika mandi bersama keluarganya di sungai berkenaan terletak di Kampung Seberang Pasar Lama Tatau di sini.
Kejadian itu disaksikan sendiri oleh datuk mangsa yang turut berada di lokasi kejadian.
|