Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran pada lot kedai di Pusat Penjaja Morsjaya di Miri, lewat malam tadi.
MIRI: Satu lot kedai musnah dalam kebakaran yang berlaku di Pusat Penjaja Morsjaya di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran terbabit kira-kira pukul 10.59 malam.
“Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat panggilan kecemasan berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan satu lot kedai jenis struktur separuh kekal telah terbakar dianggarkan 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media.
Susulan itu katanya, pasukan bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel dan dua aliran salur bantu mula air dari pam jentera.
“Kerja-kerja overhaul dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca-punca api di tempat kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” ujarnya.
Setelah memastikan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan keadaan di lokasi didapati selamat, operasi ditamatkan pada jam 12.09 tengah malam.
|