Henry (kanan) sedang memberi taklimat ringkas kepada anggotanya sebelum operasi mencari dan menyelamat Minggu (gambar sisipan) pagi tadi. - Gambar JBPM
MIRI: Seorang pekerja kilang dikhuatiri dibaham buaya ketika ketika memasang pukat di parit sebuah ladang di Batu 4, Jalan Kuala Baram pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah berkata radius pencarian mangsa, Minggu Ikum, 59, hari ini akan diperluaskan sehingga meliputi kawasan sejauh dua kilometer (km) ke bahagian hulu dan hilir parit berkenaan.
Katanya, operasi yang bermula seawal jam 9 pagi tadi turut melibatkan enam anggota bomba, tujuh polis, dua kakitangan Sarawak Forestry Corporation dan 15 orang awam.
Dalam kejadian semalam, sekitar jam 5.55 petang, pihak bomba telah menerima panggilan telefon daripada anak perempuan mangsa, Madalyn Minggu, 40, yang memaklumkan ayahnya tidak dapat dihubungi selepas keluar memasang pukat sekitar jam 7.30 pagi.
"Madalyn memberitahu ayahnya keluar memasang pukat seorang diri di parit ladang berkenaan sekitar jam 7.30 pagi semalam (Ahad).
"Anak mangsa cuba menghubungi mangsa sebanyak dua kali iaitu pada jam 11 pagi dan 12 tengah hari namun tidak dijawab," katanya ketika dihubungi hari ini. Setelah itu kata Henry, anaknya pergi ke tempat mangsa memasang pukat dan menjumpai kereta mangsa di tepi jalan.
"Semasa mencari di kawasan parit, mereka telah menjumpai satu pukat milik mangsa terkoyak dan terdapat kesan gelongsoran besar di tepi parit tempatnya memukat.
"Difahamkan, lokasi kejadian merupakan tempat kebiasaan mangsa memasang pukat dan dia sering pergi bersendirian," katanya.
Dalam pada itu, pasukan bomba yang pergi ke tempat kejadian semalam turut menjumpai barangan milik mangsa termasuk dua rawan pukat yang belum dipasang.
Katanya, mangsa membawa lima rawan pukat dan dipercayai sedang memasang pukat ketiga ketika dia diserang reptilia ganas tersebut.
Bagaimanapun, operasi semalam terpaksa ditangguhkan pada jam 7.30 malam berikutan keadaan gelap.
https://www.utusanborneo.com.my/2024/09/23/lelaki-dikhuatiri-dibaham-buaya-ketika-pasang-pukat |