SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali yang kesembilan dan pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu bagi sesi 2024-2027 di Dewan Masjid Al Madinatul Husna, Sibu Jaya, pada 28 September ini, bermula jam 8 pagi.
Presiden PVTMS Francis Yeo dalam satu kenyataan berharap agar semua ahli dapat hadir beramai ramai ke mesyuarat tersebut bagi memilih presiden yang baru bagi sesi 2024 hingga 2027, bagi menerajui persatuan.
Beliau turut berterima kasih di atas kerjasama serta sokongan daripada semua pemimpin-pemimpin negara mahupun negeri, panglima-panglima tentera, wakil-wakil rakyat, AJK, ahli serta semua lapisan masyarakat yang telah banyak membantu dari segi tenaga serta menyumbang dana bagi Kempen Tabung Pahlawan sepanjang tempoh menyandang jawatan sebagai Presiden.
"Harapan yang amat besar agar Presiden baru yang akan dilantik nanti dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan memastikan perjuangan persatuan tidak terhenti, malah menjadi sebuah persatuan yang disegani atas dasar komited melaksanakan tanggungjawab dalam membela kebajikan para ahli termasuk semua veteran di Negeri Sarawak," ujarnya.
Yeo juga memberitahu agar ahli menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan meluangkan masa untuk hadir ke mesyuarat yang akan diadakan nanti demi kepentingan perjuangan persatuan.
Untuk maklumat lanjut berhubung mesyuarat, boleh berhubung dengan Pengerusi Pengelola Mohd Bakri Mohd Yusoff di talian 013-8459800.
|