Mancha semasa bercakap dalam sidang media tersebut hari ini.
KUCHING: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang anggota tentera akibat terkena tembakan di Song, pada Isnin. Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap berusia 31 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan hutan Jalan Multipass Link, Song sekitar jam 2.45 pagi.
“Pada jam 6 pagi (23 September), polis telah menerima maklumat kejadian seorang anggota tentera cedera terkena tembakan rambang semasa menjalani latihan di kawasan kejadian.
“Mangsa lelaki berpangkat koperal berusia 29 tahun terkena tembakan di bahagian pinggang dan paha sebelah kiri kemudian dikejarkan ke Hospital Kapit.
“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi hari yang sama,” katanya semasa sidang media berhubung kejadian tersebut di IPK Sarawak, hari ini.
Tambahnya polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas yang membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek.
“Kedua-dua suspek tersebut didapati menjalankan aktiviti memburu secara haram.
“Salah seorang suspek dipercayai telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Turut dirampas satu laras senapamg patah dan peluru jenis penabur.
“Siasatan awal juga mendapati senapang tersebut merupakan milik bapa kepada seorang daripada suspek,” katanya.
Mancha berkata permohonan tahanan reman akan dibuat ke atas kedua-dua suspek di mahkamah.
Katanya kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.
“Kita menasihatkan kepada orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini,” tegasnya.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa adalah anggota formasi Briged 9 Sibu yang merupakan sebahagian daripada Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja Sarawak.
|