Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga, kiri) ditemani Nancu (dua, kiri) melakukan pelepasan Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 di Waterfront Sarawak pada 15 September lalu.-Gambar BERNAMA
KUCHING: Rakyat Bumi Kenyalang khususnya di luar bandar telah berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan disediakan secara terus oleh agensi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang program Kembara KASIH KPWKM 2024 (Kembara KASIH) berlangsung 14 hingga 21 Sept lepas.
Menelusuri lapan daerah membabitkan 1,456 kilometer, bermula dari selatan Sarawak iaitu Kuching, seterusnya ke Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang dan penghujung utara negeri, Lawas, kembara berkenaan memanfaatkan 12,000 orang yang membanjiri kaunter agensi di setiap lokasi hentian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan program yang julung kali diadakan itu sebagai satu kejayaan dengan sebanyak 27 aktiviti diketengahkan sepanjang penganjurannya.
“Program Saringan Kanser Serviks HPV DNA dan Ujian Mammogram yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya menarik lebih daripada 530 individu untuk mendapatkan perkhidmatan sewaktu kembara.
“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan, kerana satu daripada matlamat utama program kembara di Sarawak adalah untuk meningkatkan penyertaan memandangkan jumlah peserta sebelum ini masih rendah,” katanya.
Selain itu, Nancy berkata 1,000 wanita menerima bantuan sekali beri berjumlah RM500 menerusi program Wanita Dinamik yang menjadi antara pengisian kembara bertujuan meningkatkan ekonomi keluarga.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bantuan sedemikian amat bermakna kepada kaum wanita yang menjana pendapatan dari rumah dengan berniaga secara kecil-kecilan.
“Kerajaan Sarawak komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam apa sahaja kementerian untuk memastikan setiap program dan dasar itu mendapat sokongan padu kita, seterusnya meningkatkan kesejateraan hidup rakyat,” katanya.
Tidak meminggirkan komuniti kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya (OKU) serta warga emas, Kembara KASIH KPWKM turut menjadi platform bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan LPPKN menyantuni klien di sekitar kawasan laluan konvoi.
Sementara itu, Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah berkata platform kembara itu memberi pendedahan menyeluruh kepada pemimpin masyarakat serta rakyat khususnya di luar bandar mengenai perkhidmatan percuma disediakan agensi di bawah KPWKM.
“Melalui program sebegini, lebih ramai ketua masyarakat mengetahui program LPPKN… mungkin sebelum ini mereka agak terbatas untuk ke premis agensi di bandar, jadi menerusi kembara ini mereka dapat melihat sendiri pameran untuk menguar-uarkan inisiatif kerajaan yang ditawarkan secara percuma.
“Kita akui perkhidmatan LPPKN ini agak terhad sebab di Sarawak kita ada hanya premis di Kuching, Sibu dan Miri jadi program sebegini memberi peluang untuk tawarkan perkhidmatan ini secara terus di kawasan mereka sendiri,” katanya.
Kembara KASIH melibatkan pergerakan 40 kenderaan konvoi serta empat aset kementerian turut melakar sejarah tersendiri susulan pelancaran Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak pertama di negeri ini, selain aplikasi my-PSSS yang memberi kemudahan kepada orang ramai membuat aduan.
“Semoga usaha ini memberi manfaat di Sarawak terutama di kawasan luar bandar untuk dijadikan pusat rujukan khusus kepada kumpulan sasar KPWKM seperti golongan wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan OKU untuk mendapatkan perkhidmatan sosial yang holistik,” katanya.
Antara program dianjurkan sepanjang kembara itu termasuklah Program KASIH Keluarga Ceria, LPPKN PEKERTI, Advokasi Antigangguan Seksual dan Program Kesejahteraan Keluarga.
Ia mendapat kerjasama semua agensi di bawah KPWKM seperti JKM, LPPKN, Jabatan Pembangunan Wanita, Yayasan Kebajikan Negara dan Tribunal Antigangguan Seksual. - BERNAMA
|