Gambar fail
KOTA SAMARAHAN: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) optimis perbincangan pengagihan gas antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dapat diselesaikan dalam waktu terdekat ini.
"Kalau ada perkara-perkara kecil yang perlu diperhalusi, kita boleh lanjutkan tempoh pengambilalihan kawal selia dan pengagihan gas di Sarawak tetapi sasaran kita ialah Oktober (ini).
"Perkara ini kita serahkan kepada pasukan teknikal. Namun saya percaya perkara ini akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat, seperti (pengambilalihan saham) Affin Bank Berhad. Sekarang sudah selesai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bangunan Baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Mesyuarat Agung Tahunan PPNS Ke-39 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini rundingan antara Petronas dan PETROS susulan satu kenyataan bersama dikeluarkan semalam.
Dalam kenyataan bersama itu Petronas mengesahkan tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas PETROS dan Sarawak seperti dilaporkan sebelum ini. "Kita sudah mengeluarkan kenyataan bersama semalam (Selasa). Tidak ada tokok tambah kepada kenyataan itu," ujarnya.
Pada Julai lalu, dalam satu sidang media Abang Johari berkata sebagaimana yang telah diputuskan, PETROS mempunyai kuasa dari sudut kawal selia pengagihan gas di negeri ini sepenuhnya bermula 1 Julai tahun ini.
Bagaimanapun katanya, pihak Petronas meminta penangguhan pengambilalihan itu berikutan kebimbangan pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
“Kita memahami kebimbangan mereka dan menghormatinya. Jadi kita beri mereka tempoh tiga bulan sahaja kerana kita juga ada ekuiti dalam LNG.
“Tetapi 1 Oktober mesti selesai, kalau tidak kita akan jalankan kawal selia kerana syarikat yang lain semua sudah tandatangan,” katanya.
|