Sarawak Children's Literature Festival (SCLF) akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober ini di Pustaka Negeri Sarawak bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
KUCHING: Sarawak Children's Literature Festival (SCLF) yang akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober 2024 di Pustaka Negeri Sarawak bakal menawarkan 12 ruang interaktif menarik untuk diterokai oleh kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti.
Pustaka Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, festival dijadualkan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu antara lainnya menyajikan aktiviti bengkel secara praktikal, persembahan muzik dan tarian, sesi bercerita, permainan, gerai jualan dan lain-lain.
Kesemua aktiviti tersebut katanya, direka untuk memupuk kreativiti, mengasah bakat serta membina kemahiran sosial kanak-kanak dan secara tidak langsung membudayakan ilmu dan pengetahuan.
Tambahnya, penyertaan ke festival ini adalah percuma malah terbuka kepada semua kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur.
“SCLF bertujuan untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang mengasyikkan, memupuk minat terhadap buku dan pembacaan, selain meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak.
“Ini adalah peluang terbaik bagi mereka untuk berinteraksi, berinovasi, dan mengekspresikan diri dalam suasana yang positif,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, orang ramai diseru untuk tidak melepaskan peluang menyertai festival yang menggalakkan literasi dan kreativiti ini.
Dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang, SCLF akan menjadi satu pengalaman tidak dapat dilupakan bagi ibu bapa dan semua kanak-kanak.
Pada tahun ini, SCLF akan melibatkan lebih daripada 50 rakan kerjasama termasuk agensi, syarikat dan organisasi dari pelbagai latar belakang.
Festival ini juga akan menampilkan pencerita dari dalam dan luar negara bagi memupuk minat membaca, malah meningkatkan pengalaman peserta.
Untuk keterangan lanjut mengenai SCLF 2024, sila hubungi pegawai seranta Ramdzan Saman di talian 082-442000 (ext. 336) atau [email protected] dan Dayang Nadjwa 082-442000 (ext. 339) / [email protected].
|