Loo ketika ditemui media hari ini.
KUCHING: Pasukan para olahraga Sarawak berada di landasan untuk mencapai matlamat negeri sekali gus merangkul kejuaraan keseluruhan Para SUKMA Ke-21 (SUKMA XXI) 2024.
Penolong Ketua Kontinjen Para SUKMA Sarawak Loo Hun Ing berkata, kontinjen olahraga Sarawak yang terdiri daripada 68 atlet iaitu yang terbesar turut menyasarkan 30 pingat emas daripada 100 acara.
Setakat ini katanya, prestasi mereka sangat memberangsangkan.
“Dengan 23 pingat emas yang telah berjaya diraih setakat petang ini pada hari ketiga, kita berada di landasan untuk mencapai sasaran Sarawak.
“Kejayaan ini bukan sahaja untuk pasukan tetapi juga untuk Sarawak.
“Oleh itu, kita optimis akan mencapai matlamat ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Mengimbas kembali pencapaian para olahraga Sarawak, Loo berkata pasukan telah memenangi lapan pingat emas pada hari pertama, 11 emas pada hari kedua dan empat lagi menjelang jam 4 petang semalam, dengan sasaran untuk meraih lebih banyak pingat.
Sehubungan itu, beliau bangga dengan persiapan atlet selama ini.
“Mereka telah menunjukkan prestasi yang bagus sekali gus menyumbang kepada pencapaian ini.
“Kita bangga dengan kerja keras dan dedikasi mereka terutama di bawah bimbingan jurulatih Matthew Chin," katanya.
Tambah Loo lagi, pasukan para olahraga Sarawak mempunyai harapan tinggi terhadap atlet yang bertanding dalam acara yang masih berbaki.
“Kita yakin dengan potensi mereka untuk menjadi juara keseluruhan,” katanya.
|