View: 23682|Reply: 1
|
[Tempatan]
Ringgit kini mata wang dengan prestasi terbaik dunia
[Copy link]
|
|
Ringgit kini mata wang dengan prestasi terbaik dunia
https://www.freemalaysiatoday.co ... tasi-terbaik-dunia/
Rex Tan dan Sean Augustin
01 Oct 2024, 09:38 AM
Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini sekiranya sentimen pasaran kekal positif, penganalisis kanan MUFG Bank, Lloyd Chan.
Data daripada Bloomberg menunjukkan nilai ringgit mengukuh 14.35% berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan terakhir.
PETALING JAYA: Ringgit kini menjadi mata wang dengan prestasi terbaik di dunia berbanding dolar AS, kata penganalisis kanan MUFG Bank, Lloyd Chan.
Data daripada Bloomberg menunjukkan nilai ringgit naik sebanyak 14.35% berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan terakhir, mengatasi emas yang naik 14.2%, di tempat kedua. Data ini meliputi tempoh antara 27 Jun hingga 27 Sept.
Chan mengaitkan pemulihan mendadak ringgit dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kitaran penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang berterusan.
Jangkaan pasaran untuk lebih banyak pemotongan kadar faedah AS sejak Julai mendorong lonjakan ringgit pada separuh kedua tahun ini. Oleh kerana nilai ringgit ‘murah’ pada akhir separuh pertama tahun ini, ia menyediakan ruang untuk mata wang itu meningkat, kata Chan kepada kepada FMT.
Chan berkata baht Thailand turut menunjukkan prestasi yang kukuh berbanding dolar AS disebabkan oleh prospek pertumbuhan negara itu yang bertambah baik, pemulihan industri pelancongan, dan peningkatan harga emas.
Baht berada di tempat ketiga dengan peningkatan 13.79% berbanding dolar AS, diikuti oleh yen Jepun pada 13.04%.
Chan berkata ringgit berpotensi mengukuh kepada paras tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, sekiranya sentimen pasaran kekal positif terhadap mata wang Asia dan Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pilihan raya presiden AS yang akan datang mungkin membawa sedikit ketidakstabilan ke dalam pasaran.
Pada 27 Sept, BMI Country Risk & Industry Research (BMI), sebuah unit Fitch Solutions, menyemak semula unjuran ringgit pada akhir 2024 kepada RM4 berbanding dolar AS, daripada RM4.55 sebelumnya.
Selepas enam bulan, BMI meramalkan ringgit akan mengukuh sebanyak 9% pada 2025, berpotensi mencapai RM3.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Abdul Rashid, menjangkakan permintaan terhadap ringgit kekal kukuh.
Beliau berkata, HSBC menjadi bank global terbaru yang menaik taraf penilaian Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’.
Ini menunjukkan bahawa bank asing positif terhadap prospek ekonomi Malaysia, kata Afzanizam kepada FMT.
Pada awal bulan ini, Bloomberg melaporkan ringgit mencatatkan prestasi suku tahunan terbaik sejak 1973.
Semalam, ringgit ditutup pada RM4.13 berbanding dolar AS — bangkit daripada RM4.81 pada Feb 2024, penilaian terendah kedua sejak Krisis Kewangan Asia 1997-1998.
Penganalisis menjangkakan bahawa ringgit mungkin terus meningkat dan mengukuh tahun ini, disokong oleh perbezaan kadar faedah yang semakin kecil dengan AS dan prestasi perdagangan Malaysia yang semakin baik.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|