SIBU: Seorang peniaga tempatan berputih mata apabila menanggung kerugian sebanyak RM106,680 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta yang ditawarkan menerusi Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia 40-an pada 1 Oktober lalu.
"Mangsa tertarik dengan iklan jualan kereta Ford Ranger Raptor 2023 yang dimuat naik oleh akaun Facebook 'Nor Motorsport'.
"Selepas berkomunikasi dengan individu yang menggunakan nama 'Nor Vincent' dan 'Mr Jordan Liew' melalui WhatsApp, mangsa bersetuju dengan harga yang ditawarkan, iaitu RM85,000," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, mangsa kemudian menyerahkan maklumat peribadi milik isterinya, termasuk gambar kad pengenalan dan lesen memandu, sebagai sebahagian daripada proses pembelian.
"Pada 21 September 2024, mangsa memindahkan wang secara berperingkat sebanyak 24 kali, berjumlah RM106,680, ke empat akaun bank berbeza.
"Setelah pembayaran dibuat, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM7,800 untuk proses penghantaran kereta menyebabkan mangsa mula curiga dan bertindak membuat laporan polis," jelasnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, serta denda bagi kesalahan penipuan.
Zulkipli turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran harga rendah terutama di platform media sosial.
Beliau menasihati agar pengguna membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan penipuan.
Untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau melayari laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk menyemak nombor akaun bank dan telefon yang mencurigakan.
|