Zarrah Morden, Hariz Mohd & Shakira Buang
Diterbitkan: Oct 15, 2024 12:00 PM
Dikemaskini: 12:12 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia hanya memberi arahan umum kepada SPRM berhubung rasuah, apabila ditanya mengenai laporan Bloomberg yang mendakwa campur tangan politik dalam siasatan rasuah.
Menjawab Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Anwar berkata arahannya kepada pihak berkuasa tidak melibatkan sebarang kes khusus.
"SPRM sendiri telah membuat kenyataan yang tegas menafikan tohmahan tersebut kerana apa yang berlaku hanya arahan umum yang saya lakukan termasuk di parlimen.
"Saya mahu SPRM, LHDN, PDRM, badan-badan penguat kuasa bertindak tegas memerangi rasuah secara tegas, tanpa tolak ansur.
"Ini arahan diberikan tetapi tidak melibatkan kes-kes khusus kerana SPRM seperti juga Jabatan Peguam Negara harus bertindak bebas dan telus," katanya.
Bulan lalu, Bloomberg mengeluarkan laporan yang memetik tiga sumber yang mendakwa Anwar telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk melancarkan siasatan terhadap pesaingnya, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainudin.
Laporan itu juga mendakwa Anwar mengarahkan Azam supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung pembelian saham dalam HeiTech Padu Bhd.
Penyedia perkhidmatan teknologi itu dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen baru yang menelan belanja RM1 bilion.