Tiga daripada tertuduh bercakap dengan pegawai SFC semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.
KUCHING: Lima lelaki masing-masing didenda RM5,000 atau dua bulan penjara di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh Taman Negara Dered Krian dan mengalihkan objek yang mempunyai kepentingan geologi di kawasan tersebut.
Tertuduh Nopiem Osuan, Boling Ajem, Akim Kadom, Dewin Luwat dan Sinding Misok berusia antara 45 hingga 58 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman sebaik didakwa atas dua pertuduhan.
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh untuk didenda RM3,000 atau sebulan penjara bagi pertuduhan pertama, sementara untuk pertuduhan kedua, denda RM2,000 atau sebulan penjara.
Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh yang bukan bertindak di bawah dan mengikut kebenaran Pengawal Taman Negara dan Rizab Semula Jadi telah didakwa masuk ke Taman Negara Dered Krian dan seterusnya didakwa mengikut Seksyen 26 (a) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998.
Seksyen itu dibaca bersama Seksyen 32 Ordinan sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(a) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998.
Pertuduhan kedua pula menyaksikan kesemua tertuduh didakwa cuba mengalihkan objek di Taman Negara Dered Krian yang mempunyai kepentingan geologi tanpa kebenaran Pengawal Taman Negara dan Rizab Semula Jadi.
Antara barangan dirampas daripada tertuduh.
Untuk itu, lima lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 26 (g) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998 dibaca bersama Seksyen 32 Ordinan sama, Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 38 Interpretation Ordinance, 2005 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(a) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi, 1998.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada 11 Oktober 2024, sekitar jam 4.30 petang.
Mengikut keterangan kes, sebuah pasukan dari Sarawak Forestry Corporation (SFC), Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Kuching dan Pasukan Gerakan Am Batalion 11 sedang melakukan pemeriksaan rutin di sekitar taman negara tersebut sebelum menemui kesemua tertuduh.
Pasukan tersebut memeriksa kesemua tertuduh dan seterusnya mendapati mereka memiliki guni yang mengandungi batu geologi dan agregat mineral, yang merupakan objek berkepentingan geologi.
Apabila disoal siasat, lima tertuduh tersebut gagal menunjukkan bahawa mereka mempunyai sebarang kebenaran sah daripada Pengawal Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi untuk memasuki Taman Negara Dered Krian dan mengeluarkan bahan geologi dari Taman Negara tersebut.
Sehubungan itu, pasukan menahan kesemua tertuduh dan merampas beberapa barangan untuk siasatan lanjut, antara lain guni mengandungi batu geologi dan agregat mineral (objek berkepentingan geologi), tukul, lampu dan sarung tangan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Simon Engka Crown dan DPP Arvin Khan Arman Khan, sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
|